PETALING JAYA: Seorang guru Pendidikan Islam sebuah sekolah menengah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuannya pada 2022.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim, Datin Surita Budin selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Farid Azhar Nawi, 47,.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penjara serta menjalani pengawasan polis setahun selepas dibebaskan bagi memastikan pemulihan akhlak.
Mengikut pertuduhan Farid Azhar menyentuh pinggang murid itu bagi maksud seksual pada pukul 5.30 petang, 4 Ogos 2022, di surau sebuah sekolah.
Kejadian itu berlaku ketika tertuduh memegang hubungan amanah sebagai guru, yang sepatutnya membimbing dan melindungi murid-murid daripada sebarang ancaman atau penyalahgunaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(c) akta sama. – UTUSAN










