Pekerja kilang menangis selepas didakwa amang seksual kanak-kanak

Pekerja kilang menangis selepas didakwa amang seksual kanak-kanak

MUHAMMAD Farid Isham diiring keluar anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pekerja kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Farid Isham, 34, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dengan cara menyentuh kemaluan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika berada di tepi lorong berhampiran sebuah rumah di Pengkalan Rama Pantai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang pada 2 Julai 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa serta ahli keluarganya, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam Amritpal Singh merayu nilai jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya bekerja di kilang, baharu berkahwin Ogos lalu dan merupakan penyara tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 sebelum tertuduh secara tiba-tiba mencelah memohon jumlah lebih rendah, sambil menangis di kandang tertuduh.

Amritpal memaklumkan kepada mahkamah bahawa isteri tertuduh hanya membawa wang tunai RM4,000.

Mahkamah menetapkan ikat jamin baharu RM8,000 bersama syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN