BUKIT MERTAJAM : Seorang pekerja kilang warga Nepal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, bulan lepas.
Tertuduh, Dangi Chopilal, 24, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Nepal di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Budha Bed Bahadur di pekarangan sebuah kilang antara pukul 11 hingga 11.30 malam di Permatang Tinggi dalam daerah Seberang Perai Tengah pada 22 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara tempoh 30 hingga 40 tahun selain dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh pula tidak diwakili mana-mana peguam.
Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta laporan bedah siasat.
Dalam kejadian tersebut, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan akibat ditikam oleh suspek sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).
Difahamkan, mangsa yang juga bekerja di kilang yang sama sebelum itu telah diserang oleh suspek secara tiba-tiba susulan satu pertengkaran mulut yang dilaporkan berlaku sebelum itu.
Susulan kejadian berkenaan, suspek kemudian ditahan di kawasan asrama pekerja dan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.










