Ahmad Dusuki gagal dapatkan semula tauliah mengajar

Ahmad Dusuki gagal dapatkan semula tauliah mengajar

AHMAD DUSUKI ABD. RANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendakwah, Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani gagal dalam usahanya untuk mendapatkan semula tauliah mengajar di Selangor selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya di sini semalam.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters sebulat suara memutuskan demikian atas alasan tiada sebarang kekhilafan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membolehkan panel pada hari ini campur tangan.

Ahmad Dusuki memfailkan rayuan selepas sebahagian relif yang dipohon dalam semakan kehakimannya yang difailkan sekitar 2023 tidak dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam hanya memutuskan bahawa tindakan memutuskan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ahmad Dusuki adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak mengikut prosedur.

Tauliah mengajar tersebut ditarik balik pada 31 Disember 2021 bagi menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, terutama di masjid dan surau.

“Rayuan ini hanya berhubung dengan keengganan Mahkamah Tinggi untuk memberikan remedi tambahan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman dan mengeluarkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden (Mais)bertarikh 10 Mac 2022.

“Mahkamah Tinggi telah memberikan perintah certiorari yang membatalkan keputusan penarikan balik tersebut. Pada hemat kami, deklarasi tambahan bahawa keputusan tersebut adalah “batal dan tidak sah” tidak menambah apa-apa dari segi substansi.

“Sesuatu relif deklarasi mestilah mempunyai tujuan (dan) kami berpendapat bahawa Hakim yang bijaksana telah dengan betul menolak pemberian deklarasi yang berlebihan tersebut,”kata Hakim Mohamed Zaini ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit.

Merujuk kepada relif bagi mendapatkan perintah mandamus (memaksa) Mais untuk mengembalikan tauliah mengajar perayu (Ahmad Dusuki), Hakim Mohamed Zaini menyatakan bahawa sesuatu perintah mandamus akan memaksa pelaksanaan suatu kewajipan awam yang masih berkuat kuasa.

“Tauliah tersebut telah luput pada 30 Jun 2023 akibat peredaran masa. Keputusan Mahkamah Tinggi disampaikan selepas Tauliah tersebut tamat tempoh. Perintah Mandamus yang dipohon tidak boleh menghidupkan semula suatu kelulusan yang telah luput melainkan dibuktikan adanya kewajipan statutori untuk mengembalikannya.

“Perayu tidak mengenal pasti mana-mana peruntukan statutori yang mewajibkan responden untuk mengembalikan Tauliah yang telah luput. Perayu juga memohon supaya pelanjutan Tauliah diberikan tanpa perlu membuat permohonan baharu. Kami berpendapat bahawa relif sedemikian secara efektif akan memintas rangka kerja kawal selia yang mentadbir pengeluaran Tauliah.

“Pada penghakiman kami, perintah Mandamus tidak terpakai untuk memaksa pelaksanaan budi bicara dengan cara tertentu atau untuk mengatasi proses statutori. Perayu tidak membuktikan sebarang hak undang-undang untuk pembaharuan automatik. Oleh itu, penolakan perintah mandamus adalah wajar,” katanya.

Panel terbabit turut menyatakan relif deklarasi bahawa Ahmad Dusuki pemegang Tauliah yang lain tidak boleh dihalang daripada terlibat dalam politik adalah bersifat spekulatif kerana surat penarikan balik yang dikeluarkan tidak menyatakan penarikan itu disebabkan oleh penglibatannya dalam politik.

“Berhubung dengan ganti rugi yang dipohon, perayu mesti membuktikan suatu kausa tindakan bebas sebelum ganti rugi boleh diberikan. Perayu tidak memplidkan atau memberikan butiran atau keterangan mengenai ganti rugi yang dituntut.

“Oleh itu, kami tidak mendapati sebarang kekhilafan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan. Rayuan ini dengan itu ditolak dengan kos sebanyak RM35,000,”ujar Hakim Mohamed Zaini.

Pada prosiding semalam, Mais diwakili peguam Arham Rahimy Hariri manakala Ahmad Dusuki diwakili peguam-peguam, Ashok K. Raman Nair dan Mohd. Jamil Yaacob. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN