Jangan bersandar pada kejayaan lalu, PH perlu akui kelemahan

Jangan bersandar pada kejayaan lalu, PH perlu akui kelemahan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKALAHAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos lalu, penolakan sebahagian pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH), sentimen terhadap DAP serta penghijrahan beberapa pemimpin ke Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjadi petunjuk landskap politik negara terus berubah.

Naib Presiden PKR, DATUK SERI AMINUDDIN HARUN mahu parti lebih berani mengakui kelemahan, menilai semula pendekatan dan memperbetulkan strategi.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta perjuangan reformasi perlu menjadi keutamaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Memuatkan artikel berkaitan…

Aminuddin berkata, kekalahan tersebut menjadi peringatan kepercayaan rakyat tidak boleh bergantung pada pencapaian lalu, sebaliknya perlu terus dibina melalui kepimpinan dan tindakan yang meyakinkan.

Temu bual itu turut disertai jurufoto, ISKANDAR ISHAK dan juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN. 


UTUSAN : Bagaimana Datuk Seri melihat pentadbiran kerajaan negeri ketika era Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini?

AMINUDDIN : Saya melihat setiap pentadbiran mempunyai perbezaan tersendiri. Namun, apa yang berlaku kali ini agak berbeza. Jika sebelum ini saya menyambung pentadbiran terdahulu, kesinambungan dasar dan usaha pembangunan dapat diteruskan. Tetapi kali ini, kita melihat perbezaan yang cukup ketara apabila kerajaan masih belum bergerak seperti yang sepatutnya dan kelihatan masih tercari-cari rentak berikutan beberapa isu yang belum diselesaikan.

Saya melihat terdapat perbezaan antara pentadbiran saya dengan pentadbiran hari ini kerana mereka masih belum dapat mentadbir dengan sempurna. Mereka masih teragak-agak kerana isu istana dan adat belum selesai. Malah, pentadbiran itu sendiri turut berdepan permasalahan yang kita semua sedia maklum.

Akhirnya, keadaan ini merugikan kita semua, khususnya penduduk Negeri Sembilan. Sudah beberapa bulan, banyak keputusan penting berkaitan pembangunan tertangguh. Begitu juga usaha meneruskan agenda ekonomi, pembangunan, pelaburan serta urusan harian rakyat. Keadaan ini amat membimbangkan, bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga negara.

Kita tidak mahu Negeri Sembilan kehilangan rentak dalam menyahut agenda pembangunan negara yang sedang dirancang.

 

Bagaimana pentadbiran mahu berjalan sekiranya tiada exco dalam kerajaan negeri?

Itu antara perkara yang perlu diselesaikan segera. Saya rasa usaha diplomasi antara institusi istana dengan adat sudah berlangsung agak lama. Pihak pentadbiran, khususnya Menteri Besar dan barisan exco yang diberikan tanggungjawab, perlu menyelesaikan perkara ini secara menyeluruh.

UMNO dan Perikatan Nasional (PN) telah diberikan mandat yang besar oleh rakyat, malah saya difahamkan mereka mempunyai majoriti dua pertiga. Namun, mereka masih tercari-cari rentak, sedangkan keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

Di pihak pembangkang pula, semuanya tewas. Jadi, saya melihat tiada gangguan atau tekanan daripada pembangkang yang boleh menjejaskan hubungan kerajaan dengan institusi istana mahupun adat. Namun, mereka masih belum menemui rentak pentadbiran walaupun sudah hampir 100 hari memerintah. Ini sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah negeri mahupun negara.

Saya berharap mereka mempunyai kebijaksanaan untuk melihat keutamaan pada hari ini, iaitu rakyat. Jangan terlalu memikirkan kepentingan parti atau soal mempertahankan kuasa semata-mata. Mereka telah diberikan kuasa oleh rakyat, maka hargailah mandat tersebut dan laksanakan amanah dengan sebaik-baiknya. 

 

Berdasarkan pengalaman Datuk Seri sendiri, dalam menangani isu seperti ini, apakah pendekatan yang boleh diambil untuk menyelesaikannya? Adakah mahkamah jalan terakhir? 

Ada perkara yang saya tidak berani lakukan ketika menjadi Menteri Besar, iaitu mencampuri urusan kedua-dua institusi tersebut.

Masing-masing mempunyai institusi dan bidang kuasa tersendiri. Saya mempunyai tanggungjawab sebagai pentadbir, pemimpin parti dan ketua kerajaan. Institusi adat mempunyai hak mereka, begitu juga institusi raja. Saya juga mempunyai tanggungjawab dan hak yang tertakluk pada peraturan serta undang-undang yang perlu dipatuhi.

Perkara paling penting ialah kita perlu tahu batas kuasa masing-masing. Jangan sampai melampaui batas hanya kerana merasakan kita mempunyai kuasa tertentu.

Apa yang berlaku apabila exco bertindak membuat proklamasi untuk menjatuhkan Tuanku, perkara seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Jika tindakan sedemikian dibenarkan, ia boleh membawa implikasi yang amat besar kepada negara. Negeri lain juga mungkin mengambil tindakan serupa, apabila exco bermesyuarat untuk menjatuhkan sultan dan menggantikannya dengan individu lain.

Begitu juga dengan institusi Yang di-Pertuan Agong. Sebagai contoh, bolehkah Kabinet bermesyuarat dan memutuskan tidak mahu Agong sedia ada, sebaliknya mahu memilih yang lain? Bolehkah perkara seperti itu berlaku?

Inilah antara perkara yang perlu kita fahami, iaitu had dan batas kuasa yang perlu dipertahankan. Saya melihat mereka terlalu menumpukan perhatian kepada kelebihan memiliki majoriti dua pertiga sehingga merasakan exco mempunyai kuasa mutlak dalam sesebuah negeri. Mereka seolah-olah tidak mengambil kira perkara lain yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

 

Dalam situasi begini, bolehkah PRN diadakan?

Saya melihat jika perkara ini gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat, kemungkinan PRN diadakan mungkin timbul. Jika itu berlaku, ia sebenarnya akan merugikan rakyat. Kami juga tidak bekerja ke arah PRN tetapi itulah kemungkinan yang boleh berlaku sekiranya mereka terus gagal menyelesaikan permasalahan ini.

Sejak awal, saya sudah tegaskan  kami tidak mencampuri urusan ini. Kami tidak turun berdemonstrasi atau melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan. Sebaliknya, kami masih memberikan ruang kepada kerajaan negeri untuk mentadbir dengan baik.

Apa yang kita perlukan ialah sebuah negeri yang aman dan damai. Jika kami mahu bertindak sebaliknya, setiap hari kami boleh mengadakan demonstrasi sehingga keadaan menjadi kacau-bilau dan masalah semakin sukar diselesaikan. Namun, kami memilih untuk tidak berbuat demikian kerana masih berharap mereka dapat menyelesaikan kemelut ini.

Sebelum ini, mereka mendakwa mempunyai formula dan jalan penyelesaian, malah perkara itu turut disebut sepanjang kempen. Mereka yakin mampu menyelesaikan isu berkenaan. Namun, apa yang kita lihat hari ini, keadaan semakin meruncing dan bukannya bertambah baik.

 

Kekalahan PH dalam PRN  baru-baru ini disebabkan sentimen politik Melayu atau tidak menunjukkan prestasi baik?

 

Saya tidak menafikan bukan semua perkara yang kami rancang dan laksanakan itu baik. Mungkin ada yang berjaya, ada yang kurang memuaskan dan ada juga yang pada pandangan mereka tidak perlu dilaksanakan. Namun, bagi kami, tanggungjawab sudah dilaksanakan. Kami menunjukkan prestasi dan membentangkan hasilnya kepada rakyat. Itulah yang kami kempenkan, termasuk perancangan untuk masa depan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Segala perkara yang perlu dilakukan dan ditambah baik sudah kami nyatakan dalam manifesto serta sepanjang kempen. Namun, pendekatan dan tawaran itu tidak dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat. 

Mungkin juga ada kelemahan komunikasi daripada pihak kami kerana tidak mempunyai pasukan penerangan yang cukup untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat di peringkat akar umbi, termasuk pengundi di luar Negeri Sembilan. Mereka mungkin tidak mendapat gambaran menyeluruh tentang apa yang telah kami lakukan.

Sebaliknya, ketika kempen berlangsung, mungkin mereka lebih banyak menerima maklumat berkaitan seruan menolak DAP dan pihak yang bekerjasama dengannya. Isu kaum dan agama turut dimainkan dan ternyata mereka berjaya. 

Saya melihat pendekatan ini turut dibawa ke Melaka. Sebelum itu, ia berlaku di Johor dengan pendekatan sedikit berbeza. Di Negeri Sembilan dan Melaka pula, coraknya hampir sama. Mereka menganggap isu tersebut sebagai antara pendekatan yang boleh digunakan dalam kempen.

Perkara paling penting ialah kekalahan ini perlu menjadi pengajaran untuk kami menilai semula kelemahan dan mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki. Jika sentimen terhadap DAP terlalu kuat sehingga menjadi halangan kepada PH, kita perlu mencari pendekatan untuk menangani persepsi tersebut supaya rakyat dapat menerima kami semula.

 

Tetapi sentimen DAP terlalu kuat untuk dilawan, komen?

Kita juga perlu melihat kembali pilihan raya pada 2018 dan 2023 mengapa ketika itu rakyat boleh menerima kerjasama tersebut? 

PH perlu melakukan sesuatu. Kita tidak boleh menganggap perkara ini sebagai isu kecil. Mungkin terdapat kelemahan dalam kalangan kepimpinan Melayu yang perlu diperbaiki. Kita perlu jujur dengan rakyat kerana mungkin kelemahan itulah yang menyebabkan mereka membuat keputusan sedemikian.

Kita masih mempunyai masa menjelang PRU16 untuk melakukan pembetulan. Kita tidak boleh menafikan kuasa rakyat kerana hak memilih kerajaan terletak pada mereka. Dahulu, kami sendiri tidak pernah terfikir akan menjadi kerajaan tetapi apabila rakyat membuat keputusan, kami menerimanya dan berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka.

 

Bolehkah menarik semula sokongan rakyat dalam situasi penolakan Melayu terhadap PH agak tinggi?

Kita perlu melihat kekalahan ini secara menyeluruh dan menjadikannya pengajaran bersama. PH   perlu menilai mengapa dahulu diterima rakyat tetapi kali ini ditolak. Kita perlu mencari puncanya, sama ada berpunca daripada kelemahan komunikasi, gerak kerja jentera di peringkat akar umbi atau kepimpinan sendiri.

Saya tidak menafikan penolakan ini boleh memberi kesan kepada PRU16. Namun, kita masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Kita perlu memahami harapan golongan muda, pertengahan dan pengundi baharu yang pernah memberikan sokongan tetapi kini mula menjauhkan diri.

Kita juga perlu melihat perkembangan parti lain kerana UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut melalui perubahan sokongan rakyat. 

Jangan hanya meletakkan DAP sebagai punca. Sebaliknya, kita perlu mengenal pasti sebab sebenar penolakan tersebut.

Apa yang penting, seluruh jentera PH perlu memperbaiki komunikasi dan memastikan mesej sampai kepada rakyat. Kita berharap perubahan persepsi yang mula kelihatan hari ini dapat berterusan sehingga PRU16.

 

Tapi dengan isu 3R (raja, agama, kaum) melibatkan DAP sedikit sebanyak memberi kesan kepada PKR. Tidakkah hal ini boleh menjejaskan sokongan kepada PH?

Kalau lihat apa yang berlaku di negeri sebelah, siapa yang melanggar batas berkaitan institusi raja-raja Melayu? Sebelum ini, siapa yang disaman dan akhirnya memohon maaf?  Isu  3R ini dimainkan oleh mereka dan kita kena bijak. Kalau hari ini kita lihat ada tindakan yang boleh dianggap sebagai penderhakaan kepada raja-raja Melayu atau tidak menghormati institusi tersebut, termasuk oleh ahli-ahli politik, perkara ini tidak boleh dipandang ringan. 

Kadang-kadang, nama yang digunakan pun sudah cukup jelas menunjukkan seolah-olah mereka sengaja berbuat demikian. Mungkin setakat ini belum ada tindakan diambil tetapi kita kena lihat perkara ini dengan lebih teliti.

Isu-isu seperti ini kadang-kadang dimainkan secara terancang sehingga akhirnya memberi kesan kepada DAP. Sebab itu, kita perlu memahami keadaan dan sentiasa berwaspada terhadap isu 3R ini.

Kalau kita lihat semula kandungan manifesto PH pada PRU15, banyak janji yang menarik perhatian. Contohnya, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kita kena ingat, janji memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN itu bukan janji kita tetapi janji Pas. Dalam manifesto kita, apa yang dinyatakan ialah bayaran balik PTPTN berdasarkan gaji. Jika gaji RM4,000, barulah potongan dibuat. Itulah dasar yang kita teruskan sehingga hari ini.

 

Mungkin isu ini tempias kepada PH kerana pernah menjadi perjuangan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, komen?

Jangan samakan perjuangan individu dengan parti. Manifesto ialah komitmen parti, bukannya perjuangan seseorang individu. Adam Adli berhak memperjuangkan pandangannya tetapi apabila parti menyediakan manifesto, kita perlu melihat kewangan negara, keupayaan pentadbiran dan kemampuan untuk melaksanakannya. Kita tidak mahu mengumumkan sesuatu tetapi akhirnya timbul masalah dalam pelaksanaan.

Ada individu yang mempunyai pandangan dan cita-cita lebih besar tetapi mungkin tidak melihat keadaan kewangan negara ketika itu. Kita boleh sahaja berjanji memberikan RM10,000 kepada setiap orang untuk menarik undi di kawasan sendiri tetapi akhirnya parti dan manifesto perlu mengambil kira kemampuan negara. Sebab itu, pemimpin yang mahu menjanjikan sesuatu mesti melihat kedudukan ekonomi, politik dan keadaan semasa terlebih dahulu. Manifesto perlu realistik.

Saya mahu masyarakat melihat semula manifesto PH dan memahami keadaan ketika janji itu dibuat. Keadaan ekonomi hari ini tidak sama dengan 10 tahun lalu. Kita juga perlu mengambil kira hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), masalah Lembaga Tabung Haji (TH) dan isu kapal tempur pesisir (LCS) yang perlu ditanggung kerajaan. Jadi, rakyat juga perlu rasional dan memahami janji yang dibuat beberapa tahun lalu perlu dinilai berdasarkan keadaan ketika itu.

Banyak perkara yang dijanjikan kerajaan terdahulu masih belum diselesaikan kerana keadaan semasa berubah. Namun, ada juga perkara baharu yang berjaya dilaksanakan walaupun tidak terkandung dalam manifesto. Contohnya, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000. Begitu juga bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Dalam keadaan dunia berdepan kenaikan harga minyak mentah, kerajaan masih dapat mengekalkan subsidi bahan api untuk membantu rakyat. Ini antara realiti yang perlu dilihat. Jangan hanya mengungkit janji 10 tahun lalu tanpa mengambil kira perubahan keadaan ekonomi dan kemampuan negara hari ini.

 

Apabila beberapa ahli PKR keluar parti dan menyertai Bersama, adakah menjejaskan kekuatan dan menjadi ancaman kepada PKR?

Saya bersama PKR sejak awal penubuhannya. Sejak dahulu, parti ini melalui pelbagai perubahan kepimpinan, termasuk beberapa timbalan presiden yang keluar parti. Bagi saya, PKR ialah parti paling progresif kerana kita menerima perbezaan pandangan dan pendapat.

Kita pernah berjuang, berkempen bersama dan memegang jawatan dalam kerajaan tetapi hari ini ada yang berada di blok pembangkang. Saya sendiri pernah berada dalam kem Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan berbeza pendirian dengan kem Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, setiap orang mempunyai pendirian yang perlu dihormati. Itulah kematangan dalam parti. 

 

Apabila nama-nama yang dominan tiada dalam PKR, ada yang menganggap PKR semakin lemah. Komen.

Itu mungkin pandangan daripada sudut yang berbeza. Ada yang melihatnya sebagai pendekatan lain dalam politik. Namun, apabila PKR menilai semula keadaan, jumlah ahli yang keluar sebenarnya tidak ramai berbanding sejuta ahli yang masih bersama parti. Malah, ramai yang terus memberikan sokongan.

Bagi saya, ini menunjukkan kematangan ahli parti. Di peringkat akar umbi, mungkin ada dua atau tiga orang yang keluar kerana tidak lagi sehaluan tetapi perkara itu biasa dalam politik. Sebab itu, saya katakan PKR ialah parti yang progresif. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini