MELAKA: Perikatan Nasional (PN) tidak akan berunding atau memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) semata-mata untuk mendapatkan peruntukan seperti dilakukan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga telah mengetepikan PN selaku parti gabungan dan blok pembangkang.
Beliau berkata, oleh itu CSA berkenaan merupakan pilihan individu ahli Parlimen terlibat dan tidak mewakili pendirian atau keputusan rasmi PN.
Katanya, mereka yang menandatangani perjanjian itu terdiri daripada beberapa pihak yang tidak aktif bersama PN termasuk kumpulan daripada Bersatu, bekas ahli Bersatu dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
“CSA itu adalah pilihan mereka sendiri sebagai ahli Parlimen. Kebetulan, ahli Parlimen yang menyertai CSA ini adalah daripada kumpulan yang tidak bersama secara aktif dalam PN, iaitu kumpulan Bersatu sendiri, kumpulan bekas Bersatu yang dahulu melompat parti dan juga Muda.
“Jadi, PN tidak terlibat dalam perundingan dan pemeteraian itu. Kami tidak terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Khamis lalu, enam ahli Parlimen Bersatu memeterai CSA dengan kerajaan, antara lain menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai timbal balas kepada sokongan mereka.
Enam wakil rakyat yang diketuai Muhyiddin itu mahu kerajaan memastikan tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan serta peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.
Sebagai balasan, enam ahli Parlimen terlibat akan menyokong Belanjawan 2027.
Kerajaan juga bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat Bersatu dengan jumlah yang sama seperti diterima ahli Parlimen kerajaan.
Mengulas penggunaan logo sendiri oleh Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Takiyuddin berkata, Perlembagaan PN membenarkan parti komponen menggunakan logo masing-masing tetapi dengan kebenaran gabungan.
Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan logo Bersatu setakat ini tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN dan tidak mendapat kebenaran gabungan berkenaan.
“Dalam Perlembagaan PN, setiap parti anggota boleh menggunakan logo sendiri dengan kebenaran daripada PN. Tetapi, Bersatu setakat ini penggunaan logo mereka sendiri tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN. Jadi, tanpa kebenaranlah,” katanya.
Ditanya sama ada Bersatu akan dikenakan tindakan berhubung perkara itu, beliau berkata, PN akan menelitinya termasuklah kes disiplin dan tatatertib membabitkan parti itu.
Katanya, proses penelitian sedang berjalan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Perkara itu kita akan teliti. Seperti yang kita sebut sebelum ini, PN akan meneliti kes-kes disiplin dan tatatertib oleh pihak Bersatu, tetapi masih dalam proses sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, pelaksanaan CSA yang diperluas kepada parti pembangkang mampu membuka ruang kepada kesemua 218 ahli Parlimen untuk memainkan peranan dalam memperkukuh amalan demokrasi berparlimen di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau juga menyambut baik pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong pelaksanaan CSA serta mencadangkan kerjasama itu diperluas kepada parti-parti pembangkang.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana kerjasama seumpama itu pernah dilaksanakan ketika UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan pada penggal lalu.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.
“Kerjasama rentas parti yang lebih menyeluruh amat penting dalam membina konsensus Parlimen bagi menjayakan reformasi institusi khususnya pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun,” katanya semalam.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan Pas bahawa yang pertama ditandatangani pada 2021 adalah ketika parti itu berada dalam Kabinet.
Katanya, ttindakan Pas mempertikaikan CSA sebagai budaya politik baharu menimbulkan persoalan memandangkan ia bermula ketika mereka menganggotai kerajaan.
“CSA yang pertama ditandatangani pada 2021 sewaktu beliau berada dalam Kabinet. Jadi, budaya ini berlaku, bermula waktu dia (Pas) dalam Kabinet.
“Jadi, apa yang beliau cakapkan? Beliau yang memulakannya. Kabinet yang beliau anggotai itulah yang memulakan budaya tersebut,” katanya semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa CSA tidak boleh dijadikan budaya politik baharu negara.-UTUSAN.











