MUKADIMAH
RAMAI menjangkakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan disingkirkan daripada Perikatan Nasional (PN) selepas Pas memutuskan kerjasama namun perkara itu masih belum berlaku.
Sebaliknya, Bersatu akan tetap bertanding di bawah logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun Ahli Parlimen Hulu Terengganu, DATUK ROSOL WAHID berpendapat, parti yang pernah diwakilinya sebelum ini sudah tidak ada masa depan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ikuti temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan OMAR ZIN dalam pertemuan dengan beliau di Parlimen baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana masa depan Bersatu dalam politik negara ketika ini?
ROSOL: Saya lihat, sudah tidak ada masa depan. Sebab yang pertama, apa tujuan (rakyat sokong) Bersatu? Dulu orang berduyun-duyun masuk Bersatu kerana Perdana Menteri dari Bersatu, sekarang tidak ada.
Dengan apa yang berlaku sekarang ini, dengan masalah dalaman, maknanya banyak pertanyaan, banyak cerita-cerita dalam parti, jadi tidak ada makna lagi kalau orang nak masuk Bersatu.
Memang Bersatu langsung tidak ada masa depan? Tidak boleh diselamatkan lagi?
Saya rasa susah sebab masing-masing tidak boleh bertolak ansur, kemungkinan ada dalam kalangan individu dalam parti yang langsung tidak boleh duduk bersemuka, tidak boleh duduk berbincang.
UMNO pun kalah, buang orang tapi sekarang boleh elok balik?
Saya nampak UMNO dia ada pengikut setia dia, apa-apa pun yang berlaku, dia akan setia. Beza dengan Bersatu, mereka tidak macam itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dari UMNO sebelum ini pun tidak ada pengikut setia. Sebab itu dia tidak ada kekuatan.
Pas pun kalah juga tetapi tetap dapat sokongan yang kuat?
Pas pun ada hardcore fan dia, yang walak dengan dia, itu kekuatan dia.
Jadi, adakah Datuk nampak walak itu ada pada Datuk Seri Hamzah Zainuddin?
Setakat ini nampak begitu sebab Hamzah ini mudah untuk diikuti, boleh berkawan, dia ini ada something, boleh bergurau, boleh berjumpa.
Adakah Bersatu masih ada kekuatan tanpa kehadiran Hamzah dan sokongan beberapa wakil rakyatnya?
Bersatu ini kena tengok di PRN Johor sebab kekuatan parti ini bergantung kepada berapa jumlah wakil rakyat, maknanya buat macam mana pun, kalau tidak ada wakil rakyat, macam mana orang nak sokong.
Sebab sesetengah orang sudah dibuang dan didisiplin, disingkir kemudian yang dipecat seperti ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Hamzah (Larut).
Tidak malukah dengan apa yang sedang berlaku dengan Bersatu ketika ini?
Saya tidak rasa apa-apa, tetapi apa yang berlaku ini adalah sesuatu benda yang tidak betul. Bila dikenakan tindakan-tindakan ini, tindakan disiplin ini melibatkan parti, apa dia punya keuntungan dia buat begini pada parti? Sebab itu jangan simply buang-buang orang, Dia kena fikir, tapi dia buat juga.
Daripada ramai-ramai wakil ahli Parlimen dalam Bersatu, sekarang jadi sedikit. Sebab itu kena jaga parti, kena walk the talk, politik kena seimbang. Jangan cepat serang sangat, kena bincang dulu dan sebagainya. Hamzah ada sumbangan dia.
Bersatu bukan parti baharu tetapi mengapa kini ada yang melihat parti ini hampir senasib dengan Semangat 46?
Saya rasa satu sebabnya, dalam Bersatu sekarang ini pemimpinnya tidak berkualiti. Tidak macam Hamzah yang majoriti lebih 11,000 dia menang. Ikmal Hisham Abdul Aziz di Parlimen Tanah Merah majoriti lebih 44,000. Jadi maknanya dari segi undi dia tidak macam orang lain. Cuba Bersatu letak calon lain, confirm kalah.
Setiap kepimpinan ada walak, kenapa ia tidak ada pada Muhyiddin?
Walak ini, dia bukan satu benda yang dibuat, ia adalah anugerah, kerana keperibadian dia, kerana kejujuran dia, kerana kebaikan dia, kerana kesungguhan dia. Ini benda-benda yang menjadikan orang itu walak, dia buat apa yang dia cakap, itu yang orang hormat, walak ini orang hormat. Bila orang hormat, orang malu, penyokong dia jadi malu, jadi bila orang nak buat apa dekat dia, dia jadi tidak tergamak.
Mungkin akan ada orang melihat Datuk ini lompat dari UMNO ke Bersatu dan kini ke Wawasan?
Itu tidak dapat dinafikan. Orang akan pandang saya sebagai seorang yang tidak ada pendirian sendiri. Seorang yang pentingkan diri. Seorang yang tidak boleh pakai.
Tapi saya nampak dalam asas perjuangan politik, pilihan raya kena menang. Hebat macam mana pun kena menang. Jadi nak menang kena ada cara dia. Saya ingat pesan arwah bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, politik ini buat baik pun orang mengata, buat tidak baik pun orang mengata. Dia pesan buatlah apa sahaja, janji tidak bercanggah dengan agama. Jadi saya pegang kata-katanya.
Parti Wawasan ini parti baharu, boleh menang ke?
Parti ini belum pernah diuji, tapi dia ada rekod orang-orang yang menyokong parti ini. Seorang dapat 10,000 majoriti, seorang dapat 15,000, seorang 20,000. Jadi saya nampak pola pengundian sekarang ini yang tentukan bukan parti, ia adalah individu.
Jadi, bila dia sudah popular, dia akan menang, tapi dia kena sokong parti, barulah parti jadi kuat.
Adakah kekuatan Bersatu sebelum ini banyak bergantung pada Hamzah dan bukan Muhyiddin?
Orang undi Bersatu kerana Perdana Menteri dari Bersatu. Bukan sebab Hamzah, tapi Hamzah ini adalah complement, supplement dan dia enhance Bersatu. Hamzah dia ada sumbangan, mudah berbincang dan bertemu, dia baik dengan semua orang.
Dulu sebab Muhyiddin, orang-orang berderu masuk Bersatu, berebut orang nak Bersatu, sekarang tidak ada.
Adakah Bersatu akan terkubur dalam pilihan raya nanti?
Saya tidak pernah melihat begitu, tetapi dengan keadaan yang berlaku sekarang ini, saya nampak ada kemungkinannya. Dia terkubur tidak terkubur ini bergantung kepada berapa ramai ahli Parlimen yang menang. Kalau tidak ada orangnya yang menang, baru boleh nampak. – UTUSAN










