Danish akur tempat keempat di GP Malaysia

Danish akur tempat keempat di GP Malaysia

HAKIM Danish melintasi garisan penamat di tempat keempat dengan catatan masa 33 minit 12.044 saat (s), hanya 0.226 saat di belakang Carpe yang mengutip podium terakhir. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Harapan pelumba negara, Hakim Danish Ramli untuk menghadiahkan podium di laman sendiri tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati di tempat keempat dalam perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Memulakan perlumbaan dari barisan hadapan, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan aksi agresif apabila bersaing rapat dengan pelumba Indonesia, Veda Pratama dan wakil Sepanyol, Alvaro Carpe dalam perebutan kelompok podium.

Hakim Danish malah sempat menduduki tempat kedua, namun berdepan tekanan berterusan daripada kedua-dua pencabar itu yang tidak memberi ruang untuknya membina kelebihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika memasuki pusingan terakhir, pelumba berusia 19 tahun itu masih berpeluang merebut tempat ketiga sebelum Carpe melakukan pintasan untuk memintasnya dan merampas kedudukan podium.

Akhirnya, Hakim Danish melintasi garisan penamat di tempat keempat dengan catatan masa 33 minit 12.044 saat (s), hanya 0.226 saat di belakang Carpe yang mengutip podium terakhir.

Pratama pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua, 3.734s di belakang juara dari Sepanyol, Maximo Quiles yang sudah membina kelebihan selesa untuk meraih kemenangan dengan masa 33:07.634s.

Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish terlepas peluang mengulangi pencapaian mentornya yang juga pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang pernah menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada GP Malaysia 2012.

Dalam kedudukan kejuaraan dunia Moto3, Quiles terus mengukuhkan kedudukan teratas dengan 376 mata, jauh meninggalkan David Almansa di tempat kedua dengan 228 mata, manakala Brian Uriarte dan Carpe berkongsi 205 mata.

Pratama pula berada di tangga ketujuh dengan 131 mata, sementara Hakim Danish menghuni kedudukan kesembilan menerusi 116 mata selepas mengharungi perlumbaan di Sepang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini