IPTS, NGO jalin Kerjasama perluas akses TVET

IPTS, NGO jalin Kerjasama perluas akses TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi Latihan KLNET Akademi dan Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia (PGGPM) memperkukuh usaha pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi inisiatif Gerakan Memperkasa Skill & Industri TVET Negara (GEMERSIT BUMI).

Inisiatif itu digerakkan melalui kerjasama strategik antara institusi latihan, pemain industri, sektor korporat dan pertubuhan masyarakat bagi memperluas akses kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan serta keusahawanan berasaskan kemahiran.

Usaha berkenaan turut memberi perhatian kepada pembangunan modal insan dalam kalangan belia, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), komuniti setempat, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan sasaran lain yang berpotensi meningkatkan taraf ekonomi menerusi latihan bersesuaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) atau Letter of Understanding (LoU) bagi GEMERSIT BUMI berlangsung baru-baru ini sebagai platform membina jaringan kerjasama dan menyelaraskan usaha pembangunan kemahiran dengan keperluan industri.

KLNET Akademi dalam satu kenyataan berkata, pendekatan itu meletakkan TVET bukan sekadar laluan alternatif kepada pendidikan akademik, sebaliknya sebagai landasan penting untuk melahirkan tenaga kerja kompeten, usahawan berkemahiran dan tenaga profesional yang mampu memenuhi keperluan industri semasa serta masa hadapan.

Menerusi kerjasama berkenaan, beberapa bidang utama akan diberi perhatian termasuk pembangunan latihan kemahiran, pelatihan, penempatan dan pendapatan (3P), keusahawanan berasaskan kemahiran serta pengiktirafan kompetensi melalui pihak berkuasa dan badan berkaitan, tertakluk kepada syarat serta kelulusan ditetapkan.

“Inisiatif itu turut memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang antara latihan dengan keperluan sebenar industri bagi memastikan peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal, malah berpeluang membina kerjaya, meneroka pekerjaan kendiri dan menceburi bidang keusahawanan.

“Antara sektor berpotensi diteroka termasuk kecantikan dan kesejahteraan, penjagaan diri, hospitaliti, kulinari, makanan dan minuman (F&B), pelancongan, perkhidmatan komuniti serta teknologi digital,”katanya hari ini.

Selain itu, penglibatan KESO Legacy Network dan KLNET Akademi membuka ruang untuk menghubungkan kepakaran industri emas dengan sistem latihan dan pembangunan kompetensi TVET. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini