Gastrodiplomasi bawa citarasa Malaysia ke Budapest

Gastrodiplomasi bawa citarasa Malaysia ke Budapest

NORAFIZAN Mustaffa (bersongkok) bersama Chef Ismail dalam program “A Taste of Malaysia” yang berlangsung di Sekolah Masakan Kuktaparty, Budapest, Hungary.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Hungary memperhebat usaha gastrodiplomasi negara menerusi penganjuran acara masakan eksklusif yang diterajui Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi Gastronomi, Datuk Chef Ismail Ahmad.

Penganjuran program bertajuk “A Taste of Malaysia” yang berlangsung di Sekolah Masakan Kuktaparty itu menghimpunkan lebih 30 tetamu jemputan khas terdiri daripada pegawai kanan Kerajaan Hungary, pemimpin sektor perniagaan, ahli akademik kulinari, wakil pengamal media dan tokoh-tokoh berpengaruh Hungary.

Para tetamu disajikan dengan demonstrasi masakan secara langsung penyediaan cucur udang oleh Chef Ismail, disusuli jamuan makan tengah hari berkonsepkan tradisi hidang. Antara juadah warisan yang dihidangkan termasuk Nasi Beriani Gam Johor, Rendang Tok, Ayam Madu, Kari Dal, Pecal, Lepat Pisang dan Sira Labu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kuasa Usaha Sementara (CDA a.i.) Kedutaan Besar Malaysia di Budapest, Norafizan Mustaffa berkata, keunikan makanan merupakan jambatan budaya yang amat berkesan dalam menghubungkan kedua-dua negara.

Beliau menarik perhatian hadirin dengan berkongsi kisah sebuah kedai makan di Perak yang diusahakan pasangan rakyat Hungary dan Malaysia, di mana hidangan roti leper tradisional Hungary (lángos) disajikan bersama sambal, ikan bilis, kacang goreng dan timun seperti nasi lemak.

“Sekiranya makanan tradisi Hungary seperti lángos boleh diterima dengan baik di Malaysia, ini membuktikan kedua-dua negara berkongsi ‘bahasa’ yang sama iaitu kecintaan terhadap keenakan makanan,” katanya ketika berucap pada majlis itu, baru-baru ini.

KEUNIKAN makanan merupakan jambatan budaya menghubungkan Malaysia dan Hungary.

Beliau turut menjadikan acara itu sebagai platform jemputan kepada rakyat Hungary untuk melancong ke Malaysia bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

Majlis turut diserikan dengan deklamasi sajak khas bertemakan acara berkenaan oleh penulis dwi-bahasa, penyair dan penterjemah Malaysia, Mawar Marzuki. Beliau kini sedang menjalani program residen seni penulisan di bawah Persatuan penulis Slovenia (SWA) di Ljubljana, Slovenia.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Hungary, Adrienn Sallai; Timbalan Datuk Bandar Daerah 1 Budapest, Artúr Fodor serta Naib Rektor Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Sains Pertanian dan Hayat Hungary (MATE), Dr. Zoltán Kovács.

Penganjuran acara utama ini turut disusuli dengan sesi kelas bimbingan kulinari yang diadakan sehari lebih awal, menyaksikan Chef Ismail melatih enam penuntut bidang sains makanan dan gastronomi Universiti MATE bersama dua chef terkemuka Hungary iaitu Chef Péter Korpádi dan Chef Lajos Rácz.

Bagi membolehkan tetamu mencuba sendiri sajian berkenaan di rumah, pihak kedutaan turut mengedarkan buku panduan resipi khas kepada semua hadirin. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini