Sekutu Trump perintah Hungary 16 tahun kalah - Utusan Malaysia

Sekutu Trump perintah Hungary 16 tahun kalah

PARTI pimpinan ORBAN (kanan) kalah kepada Magyar yang memimpin Tisza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAPEST: Selepas 16 tahun memegang tampuk kuasa, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban yang sering digelar pemimpin autoritarian, akhirnya tewas kepada tokoh konservatif pro-Eropah, Peter Magyar dalam pilihan raya Parlimen dan menandakan perubahan besar landskap politik di negara itu.

Kekalahan Orban dalam pilihan raya dengan peratusan keluar mengundi yang mencatat rekod tertinggi itu memberi tamparan hebat kepada golongan nasionalis, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sebelum ini menyokongnya. 

Keputusan itu juga mengurangkan pengaruh Presiden Russia, Vladimir Putin dalam Kesatuan Eropah (EU).

Dengan kiraan 98.15 peratus undi, parti Tisza pimpinan Magyar memperoleh majoriti dua pertiga. Parti itu memenangi 138 daripada 199 kerusi di Parlimen dengan 53.6 peratus undi. Parti Fidesz diketuai Orban pula hanya meraih 55 kerusi dengan 37.9 peratus undi.

Puluhan ribu penyokong parti Tisza pimpinan Magyar bersorak di ibu pejabat pilihan raya di Budapest, sambil mengibarkan bendera Hungary dan meraikan kemenangan.

Magyar yang muncul dua tahun lalu sebagai tokoh baharu politik Hungary berkata, rakyat telah ‘membebaskan Hungary’ dan menyifatkan kemenangan itu sebagai ‘keajaiban’.

Beliau berjanji untuk memulihkan sistem semak dan imbang, menjamin fungsi demokrasi serta membawa negara itu kembali ke landasan yang betul.

Orban dalam kenyataannya berkata, keputusan itu jelas dan tidak menyenangkan, namun mengucapkan tahniah kepada pihak pemenang.

Pemimpin nasionalis berusia 62 tahun itu merupakan sekutu rapat Trump, selain mempunyai hubungan dengan China dan Russia, tetapi sering dianggap duri dalam daging kepada EU.

Memimpin negara Eropah Tengah dengan populasi sekitar 9.5 juta, Orban membina reputasi antarabangsa sebagai penentang tegar terhadap imigresen, hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender serta sokongan Barat kepada Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Russia.

Peratusan keluar mengundi mencatat rekod baharu 79.50 peratus.

Magyar turut menerima ucapan tahniah daripada pemimpin Eropah, termasuk Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama demi keamanan dan kestabilan Eropah.

Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen turut menyatakan Hungary telah ‘memilih Eropah’.

Sebelum pilihan raya, kedua-dua kem menuduh berlaku campur tangan asing dalam kempen masing-masing.

Naib Presiden AS, JD Vance juga dilaporkan melawat Hungary untuk menyokong Orban, manakala Trump menjanjikan sokongan ekonomi sekiranya beliau menang.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN