Beijing kerah lebih 100 kapal dekat Taiwan - Utusan Malaysia

Beijing kerah lebih 100 kapal dekat Taiwan

CHINA menempatkan kapal-kapalnya dekat Taiwan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Taiwan mendedahkan bahawa pihak China menempatkan lebih 100 buah kapal tentera laut, dekat pulaunya susulan ketegangan yang berlaku antara Taipei dengan Beijing sejak akhir-akhir ini.

Kapal-kapal itu ditempatkan di sepanjang kawasan perairan yang merentasi Laut Kuning hingga ke Laut China Selatan dan barat Lautan Pasifik

Pengerahan itu melibatkan kapal pengawal pantai dan kapal penyelidik.

Menurut seorang pegawai keselamatan Taiwan yang memetik laporan AFP, operasi pengerahan aset maritim tersebut sebenarnya telah bermula sebelum pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping di Beijing baru-baru ini. 

Bagaimanapun, skala pergerakan itu dikesan menjadi semakin besar sejurus selepas sidang kemuncak tersebut berakhir.

Pegawai terbabit yang enggan mendedahkan identitinya turut menyatakan bahawa armada besar itu turut melibatkan kehadiran kapal-kapal tinjauan marin dan penyelidikan milik China.

Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika Taiwan dilaporkan semakin bimbang dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Trump mengenai isu penjualan senjata AS kepada pulau berkenaan. 

Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa sokongan ketenteraan terhadap Taiwan berkemungkinan besar akan dijadikan sebagai sebahagian daripada agenda rundingan yang lebih luas dengan pihak China.

China sehingga kini tetap menuntut Taiwan yang ditadbir secara demokrasi sebagai sebahagian daripada wilayahnya. 

Beijing juga berulang kali mengeluarkan amaran keras bahawa mereka tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih pulau tersebut secara kekerasan sekiranya perlu. 

Sebaliknya, Taiwan amat bergantung kepada sokongan ketenteraan dan politik daripada AS bagi menepis tekanan yang semakin meningkat dari China. – AGENSI

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN