Trump mahu Arab Saudi normalisasi dengan Israel - Utusan Malaysia

Trump mahu Arab Saudi normalisasi dengan Israel

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menggesa negara-negara majoriti Muslim di Asia Barat dan rantau lain supaya menormalisasikan hubungan dengan Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang sedang dirundingkan dengan Iran.

Dalam hantaran panjang di media sosial, Trump menyenaraikan negara-negara yang pemimpinnya berbincang dengannya pada Sabtu mengenai usaha menamatkan perang dengan Iran.

“Selepas segala usaha yang dilakukan oleh Amerika ntuk cuba menyatukan teka-teki yang sangat rumit ini, semua negara ini sekurang-kurangnya sepatutnya secara serentak menyertai Perjanjian Abraham.

“Negara-negara yang dibincangkan ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE, sudah menjadi ahli!), Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir, Jordan dan Bahrain (sudah menjadi ahli!).”

Perjanjian Abraham ialah satu set perjanjian yang diusahakan di bawah pentadbiran Trump pada 2020 dan dianggap secara meluas sebagai kejayaan dasar luar beliau.

Perjanjian itu mengawal normalisasi hubungan diplomatik antara Israel dan negara-negara yang sebelum ini bermusuhan dengannya.

Walaupun ia disambut baik dalam kalangan diplomatik sebagai langkah ke arah Asia Barat yang lebih aman, perjanjian itu masih tidak popular dalam kalangan masyarakat di banyak bahagian rantau itu, terutama kerana ia tidak menangani konflik Israel-Palestin.

“Mungkin ada satu atau dua negara yang mempunyai alasan untuk tidak berbuat demikian dan itu akan diterima, tetapi kebanyakannya sepatutnya bersedia, rela dan mampu menjadikan penyelesaian dengan Iran ini satu peristiwa yang jauh lebih bersejarah daripada yang sepatutnya,” tulis Trump di platform Truth Social.

“Ia sepatutnya dimulakan dengan penyertaan segera oleh Arab Saudi dan Qatar dan semua yang lain perlu mengikutinya. Jika tidak, mereka tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada perjanjian ini kerana ia menunjukkan niat yang tidak baik,” tambahnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN