Perjanjian damai AS-Iran ambil masa - Utusan Malaysia

Perjanjian damai AS-Iran ambil masa

PERJANJIAN gencatan senjata antara AS-Iran gagal dicapai pada Ahad seperti diharapkan oleh Washington. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON/TEHERAN: Rumah Putih  tidak menjangka perjanjian untuk menamatkan perang dengan Iran akan dicapai pada Ahad dan sebaliknya berpendapat mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diluluskan oleh kepimpinan Iran termasuk Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Mojtaba Khamenei.

Walaupun pegawai Amerika Syarikat (AS) optimis bahawa perjanjian akan ditandatangani dalam beberapa hari lagi, mereka turut mengaku bahawa ia masih belum dimuktamadkan dan masih boleh gagal dicapai. 

“Kami berada di kedudukan yang sangat baik  tetapi ada cara bagaimana perjanjian ini boleh digagalkan,” kata seorang pegawai kanan AS dalam taklimat kepada wartawan mengenai perjanjian tersebut.

Perjanjian itu akan mengelakkan peningkatan perang dan mengurangkan tekanan terhadap bekalan minyak global. Namun, masih tidak jelas sama ada ia akan membawa kepada perjanjian damai berkekalan yang turut memenuhi tuntutan nuklear Presiden Donald Trump.

TIDAK TERGESA-GESA

Trump berkata, beliau telah memberitahu wakil-wakilnya supaya tidak tergesa-gesa mencapai perjanjian dengan Iran, menurut kenyataan di Truth Social miliknya pada Ahad selain menyatakan bahawa kedua-dua pihak perlu mengambil masa dan memastikan semuanya dilakukan dengan betul.

Namun, beliau berkata, sekatan laut AS akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya sehingga satu perjanjian dicapai, disahkan dan ditandatangani.

Pegawai kanan pentadbiran Trump berkata, masih ada beberapa butiran yang perlu diselesaikan tetapi sifat sistem membuat keputusan Iran yang perlahan dan tidak telus boleh melambatkan perjanjian itu selama beberapa hari lagi.

“Masih terdapat rundingan berulang mengenai butiran tertentu. Ada beberapa perkataan yang penting bagi kami, dan ada juga perkataan yang penting bagi mereka,” kata pegawai AS itu.

“Pemahaman kami ialah Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Mojtaba Khamenei telah menyokong rangka asas perjanjian itu. Sama ada ia benar-benar akan menjadi satu perjanjian masih menjadi persoalan terbuka,” tambahnya.

AMARAN

Iran memberi amaran pada Isnin bahawa walaupun beberapa kemajuan telah dicapai, pihaknya masih belum hampir mencapai perjanjian dengan AS untuk menamatkan perang di Asia Barat, selepas hujung minggu dipenuhi mesej bercampur-campur daripada Washington dan Teheran.

Harga minyak dunia menjunam susulan optimisme baharu mengenai kemungkinan tercapainya perjanjian, selepas diplomat tertinggi AS, Marco Rubio mencadangkan bahawa persetujuan mungkin dapat dicapai dalam tempoh sehari.

Namun, jurucakap Kementerian Luar Iran membalas: “Tiada siapa boleh membuat dakwaan sedemikian.”

CHINA

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif  yang kerajaannya mengetuai usaha memudah cara perjanjian rundingan antara AS dan Iran bertemu Presiden China, Xi Jinping di Beijing pada Isnin.

Pertemuan peringkat tinggi itu, yang dilaporkan agensi berita kerajaan Xinhua, berlangsung selepas Sharif mengadakan rundingan lebih awal pada hari yang sama dengan Perdana Menteri, Li Qiang, pemimpin nombor dua negara itu.

Sharif turut diiringi ketua tentera, Asim Munir dalam lawatannya ke China, menurut televisyen Pakistan pada Isnin. Munir merupakan perunding utama Islamabad antara AS  dan Iran.

Butiran mengenai perbincangan itu tidak segera didedahkan media kerajaan China.

Pakistan muncul sebagai pengantara utama antara AS dan Iran, selepas menjadi tuan rumah rundingan bersemuka bersejarah bulan lalu yang bagaimanapun gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.

China pula memainkan peranan yang lebih senyap dengan menyelaras panggilan telefon dan pertemuan bersama pegawai negara-negara Teluk yang terlibat.

Pasukan tentera AS dan Iran telah mematuhi gencatan senjata sejak 8 April sementara diplomat berusaha mencapai penyelesaian melalui rundingan, walaupun Iran masih mengekalkan kawalan terhadap pergerakan kapal-kapal di Teluk melalui Selat Hormuz.

Pada masa sama, Tentera Laut AS cuba menyekat pelabuhan Iran.

Sementara itu, di Teheran, jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baqaei menepis harapan mengenai penyelesaian muktamad yang cepat.

BAYARAN TERTENTU

“Memang benar untuk menyatakan bahawa kami telah mencapai kesimpulan mengenai sebahagian besar isu yang dibincangkan,” katanya dalam sidang media mingguan.

“Namun, untuk menyatakan bahawa ini bermakna perjanjian akan ditandatangani dalam masa terdekat, tiada siapa boleh membuat dakwaan sedemikian,” ujarnya.

Baqaei menyatakan Iran akan terus mengurus lalu lintas maritim melalui Selat Hormuz dengan mengenakan bayaran perkhidmatan. Beliau berkata bahawa perkara itu tidak bermaksud Teheran cuba mengenakan tol.

“Perkhidmatan yang disediakan  termasuk perkhidmatan navigasi dan langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi alam sekitar Selat Hormuz, Teluk Parsi dan Laut Oman memerlukan kutipan bayaran tertentu,” katanya. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN