Trump arah perunding tidak tergesa-gesa capai perjanjian dengan Iran - Utusan Malaysia

Trump arah perunding tidak tergesa-gesa capai perjanjian dengan Iran

TRUMP tidak mahu perundingnya tergesa-gesa dalam mencapai perjanjian dengan Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meredakan jangkaan terhadap satu perjanjian di Iran apabila berkata pada Ahad bahawa beliau telah mengarahkan para perundingnya supaya tidak tergesa-gesa walaupun Teheran dan Washington memberi isyarat kemajuan ke arah perjanjian untuk menamatkan perang.

Amerika dan Iran telah mematuhi gencatan senjata sejak 8 April manakala pihak pengantara berusaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan, walaupun Iran mengenakan kawalan terhadap perkapalan Teluk dan AS pula menyekat pelabuhan Iran.

Perang itu tercetus selepas AS dan Israel menyerang republik Islam tersebut pada 28 Februari dan Iran membalas dengan serangan peluru berpandu serta dron di seluruh rantau itu.

Sekutu Iran di Lubnan, Hizbollah, menyerang Israel pada 2 Mac selepas serangan AS-Israel membunuh pemimpin tertinggi Iran.

“Saya telah memaklumkan kepada wakil saya supaya tidak tergesa-gesa mencapai perjanjian kerana masa memihak kepada kita,” kata Trump dalam hantaran media sosial pada Ahad.

“Sekatan akan kekal dikuatkuasakan sepenuhnya sehingga satu perjanjian dicapai, diperakui dan ditandatangani,” tambahnya.

Sebelum itu, Trump berkata, perjanjian tersebut sebahagian besarnya telah dirundingkan, tertakluk untuk dimuktamadkan antara AS, Republik Islam Iran dan beberapa negara lain.

Agensi berita Tasnim melaporkan pada Ahad bahawa beberapa klausa utama dalam kemungkinan perjanjian itu masih belum diselesaikan ketika ini, termasuk isu aset Iran yang dibekukan.

Seorang pegawai kanan AS yang dipetik portal Axios berkata, Rumah Putih tidak menjangka perjanjian untuk menamatkan perang dapat dicapai pada Ahad dan berpendapat, ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum Teheran meluluskan perjanjian tersebut.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memberitahu The New York Times bahawa perjanjian dengan Iran mendapat sokongan serantau, namun perjanjian nuklear tidak boleh dicapai dalam tempoh 72 jam secara tergesa-gesa.

“Ketika ini, kami mempunyai tujuh atau lapan negara di rantau ini yang menyokong pendekatan ini dan kami bersedia untuk meneruskannya,” katanya.

Sebelum itu, Rubio berkata, satu persetujuan untuk menamatkan perang serantau itu mungkin dapat dicapai seawal Ahad. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN