PM baharu Hungary janji pulihkan aliran dana EU - Utusan Malaysia

PM baharu Hungary janji pulihkan aliran dana EU

PETER MAGYAR - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Pemimpin baharu Hungary, Peter Magyar, memberi jaminan dana Kesatuan Eropah (EU) yang dibekukan akan mula disalurkan ke Budapest tidak lama lagi, selepas beliau melakukan  lawatan pertamanya ke Brussels, Belgium sejak menewaskan bekas Perdana Menteri, Viktor Orban dalam pilihan raya umum.

Magyar yang berhaluan konservatif itu melawat pusat pentadbiran EU sebelum mengambil alih jawatan perdana menteri secara rasmi bulan depan, dalam isyarat jelas beliau mahu merapatkan semula hubungan dengan Brussels selepas 16 tahun ketegangan di bawah pentadbiran Orban.

Beliau berkata, pertemuannya dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berlangsung dalam suasana ‘sangat membina’, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan pertemuan susulan pada akhir Mei bagi memuktamadkan pelan pelepasan dana tersebut.

“Dana EU akan tiba di Hungary tidak lama lagi dan membantu memulakan semula ekonomi Hungary,” katanya dalam hantaran di media sosial kelmarin.

Magyar berusaha membuktikan pendekatan baharunya mampu membawa hasil segera, termasuk mendapatkan semula kira-kira 18 bilion euro (RM83 bilion) dana EU yang dibekukan atas kebimbangan berkaitan kedaulatan undang-undang dan isu rasuah di bawah Orban.

Bagaimanapun, beliau kini berdepan tekanan apabila kerajaan baharu hanya mempunyai tempoh sehingga akhir Ogos untuk melaksanakan reformasi bagi mendapatkan baki 10 bilion euro (RM46 bilion) dana pemulihan pandemik Covid-19, atau berpotensi hilang secara kekal.

Ursula menyifatkan pertemuannya dengan Magyar sebagai ‘pertukaran yang sangat baik’, dan memaklumkan kedua-dua pihak membincangkan langkah yang diperlukan untuk mendapatkan dana EU.

Dalam hantaran di media sosial, beliau berkata, Suruhanjaya Eropah akan menyokong usaha Hungary dalam menangani isu berkaitan dan menyelaraskan semula nilai-nilai Eropah yang dikongsi bersama.

Nada positif itu turut dikongsi oleh Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, yang turut mengadakan pertemuan dengan Magyar.

“EU berdepan banyak cabaran, tetapi apabila kita bersatu, Eropah sentiasa mampu mencapai hasil,” kata Costa dalam hantaran beliau.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN