Mereka masih dikategorikan sebagai individu hilang - MASFIH

Mereka masih dikategorikan sebagai individu hilang – MASFIH

DR. MANIVANNAN RETHINAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) membantah penggunaan istilah ‘terkorban’, ‘meninggal dunia’ dan ‘perished’ dalam beberapa laporan media berhubung 54 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.

Penyelaras dan jurucakap MASFIH, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, kematian kesemua individu berkenaan masih belum disahkan secara rasmi kepada waris atau diisytiharkan melalui prosedur undang-undang berkaitan.

“Seramai 54 rakyat Malaysia masih hilang dan kematian mereka belum disahkan secara rasmi. Sehingga pengesahan diperoleh melalui proses sewajarnya, mereka perlu dirujuk sebagai individu yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, penggunaan istilah berkenaan dalam laporan media pada 30 Oktober lalu menimbulkan tanggapan seolah-olah MASFIH mengesahkan atau memaklumkan bahawa kesemua individu terbabit telah meninggal dunia.

“Saya tidak pernah menyatakan atau mengesahkan kematian mereka. Mereka masih dikategorikan sebagai individu hilang dan keluarga masih menunggu maklumat rasmi,” katanya.

Menurutnya, kenyataan media asal MASFIH pada 30 Oktober hanya memaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mula menghubungi waris individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran bantuan.

“Perkara ini bukan sekadar perbezaan istilah atau kesilapan editorial kecil. Perbezaan antara individu yang masih hilang dengan individu yang kematiannya disahkan secara rasmi adalah penting kerana memberi kesan kepada status undang-undang, aset dan hak keluarga terlibat,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan asal MASFIH tidak menggunakan istilah ‘meninggal dunia’ atau ‘terkorban’, sebaliknya merujuk kepada individu yang hilang, waris dan keluarga yang terkesan akibat tragedi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menuntut semua organisasi media terbabit membuat pembetulan menyeluruh, termasuk terhadap tajuk, subtajuk, kapsyen dan perenggan pembukaan laporan.

“Pembetulan tidak seharusnya terhad kepada satu laman sesawang sahaja kerana laporan asal mungkin telah disalin, diterbitkan semula atau dikongsi melalui pelbagai platform,” katanya.

Beliau turut meminta media menerbitkan penjelasan secara terbuka, memohon maaf serta menyemak semua versi bahasa dan saluran pengedaran yang menyiarkan laporan berkenaan.

“Saya juga meminta penjelasan bertulis mengenai bagaimana istilah berkenaan dimasukkan dalam laporan, sama ada daripada laporan asal Bernama atau hasil suntingan, terjemahan dan penerbitan semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta pengakuan penerimaan bantahan serta maklum balas awal diberikan dalam tempoh tiga hari bekerja.

Manivannan berkata, isu berkenaan amat dekat dengan dirinya kerana adik perempuannya, Komathi Rethinam, merupakan antara 54 rakyat Malaysia yang masih hilang.

“Adik saya masih hilang. Begitu juga 53 rakyat Malaysia yang lain. Keluarga mereka masih menunggu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, MASFIH merupakan kumpulan sokongan dan penyelarasan tidak formal yang diterajui keluarga mangsa, bukannya pertubuhan berdaftar atau entiti undang-undang berasingan.

Manivannan berkata, beliau mengekalkan semua hak perundangan peribadinya berhubung penerbitan yang didakwa mengandungi gambaran tidak tepat atau menjejaskan reputasinya.

“Saya secara jelas mengekalkan semua hak perundangan peribadi saya berhubung sebarang penerbitan yang mungkin memfitnah, menyalahgambarkan kenyataan atau kedudukan saya, atau menjejaskan reputasi dan kepentingan saya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini