PETALING JAYA: Melbourne kekal menjadi pangkalan latihan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam usaha memperkukuh persiapan memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kesinambungan latihan di Melbourne antara perkara yang dibincangkan bersama Azizulhasni ketika pertemuan mereka di pejabatnya pada 27 Oktober lalu.
Menurutnya, perancangan yang dikemukakan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut merangkumi penyertaan dalam kejohanan peringkat Asia, Siri Piala Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta pertandingan Kelas 1 dan Kelas 2.
“Antara perkara yang dibincangkan ialah kesinambungan latihan di Melbourne serta penyertaan dalam kejohanan peringkat Asia, Siri Piala Dunia UCI dan pertandingan Kelas 1 serta Kelas 2.
“Semua penyertaan itu bertujuan memaksimumkan kutipan mata kelayakan dalam acara pecut dan keirin,” katanya dalam akaun Facebook miliknya.
Selain perancangan pertandingan, Taufiq berkata, perbincangan turut menyentuh keperluan sokongan sains sukan dan perubatan, aspek kejurulatihan serta penyelidikan dan pembangunan peralatan bagi memastikan persiapan atlet memenuhi peraturan UCI sepanjang kitaran LA28.
“MSN dan ISN akan terus bersama PKBM bagi memastikan persiapan ini berjalan secara tersusun dan berterusan,” katanya.
Kerjasama itu dilihat penting dalam memastikan setiap aspek persiapan Azizulhasni mendapat sokongan sewajarnya, khususnya dalam usaha mengoptimumkan prestasi menerusi program latihan dan penyertaan pertandingan antarabangsa.
Azizulhasni yang dikenali dengan gelaran Pocket Rocketman sebelum ini menyatakan tekad untuk meneruskan perjuangan ke LA28, sekali gus menjadikan perancangan persiapan kali ini antara langkah penting dalam usaha memburu penampilan di temasya Olimpik berkenaan.
Tumpuan terhadap acara pecut dan keirin itu penting buat Azizulhasni memandangkan kedua-dua disiplin berkenaan menjadi laluan yang disasarkan PKBM untuk memaksimumkan kutipan mata kelayakan ke LA28.
Justeru, kesinambungan latihan di Melbourne bersama penyertaan dalam kejohanan antarabangsa dijangka menjadi antara komponen utama persiapan Azizulhasni dalam memburu peluang kembali beraksi di pentas Olimpik. – UTUSAN











