Soalan:
Saya mengalami tekanan perasaan selepas dicabul oleh sepupu. Saya mahu berterus-terang kepada ibu bapa, tapi tiada keberanian. Khuatir mereka akan memarahi saya dan meretakkan hubungan kekeluargaan.
-Remaja buntu
Jawapan:
Pengalaman dicabul boleh meninggalkan kesan emosi mendalam, terutama apabila pelakunya adalah orang yang dikenali dan rapat dengan keluarga.
Rasa takut, malu dan bimbang tidak dipercayai adalah antara reaksi normal yang mungkin berlaku.
Namun, mana-mana mangsa tidak sepatutnya menanggung pengalaman tersebut seorang diri. Berikut tip untuk membantu anda menangani isu ini:
a) Cari orang dewasa yang dipercayai
-Jika tidak berani memberitahu ibu bapa, carilah orang dewasa lain yang dipercayai seperti rakan, guru atau kaunselor. Ceritakan perkara yang berlaku mengikut kemampuan anda. Anda tidak perlu menceritakan semuanya sekali gus. Yang penting, anda tidak menghadapi perkara ini bersendirian.
b) Utamakan keselamatan diri Jika pelaku masih berada di sekeliling, elakkan berdua dengannya.
Jika berasa tidak selamat atau bimbang kejadian sama berulang, segera beritahu orang yang dipercayai. Keselamatan anda perlu diutamakan kerana pelaku adalah orang terdekat.
c) Berikan masa untuk pulih
Kesan trauma mungkin mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. Jangan paksa diri untuk segera melupakannya. Berikan diri masa dan lakukan perkara yang membantu anda berasa lebih tenang dan selamat.
d) Jangan takut untuk bercerita
Anda mungkin takut ibu bapa marah atau hubungan keluarga menjadi semakin renggang. Namun, anda perlu ingat, anda tidak boleh menanggung masalah ini seorang diri. Ceritakan kepada orang yang dipercayai supaya mereka dapat membantu dan memastikan anda selamat.
e) Dapatkan bantuan profesional Kaunselor atau profesional kesihatan mental boleh membantu anda memahami kesan trauma dan mengurus emosi. Jika sukar untuk memberitahu keluarga, minta bantuan guru, kaunselor atau orang dewasa yang dipercayai untuk menemani anda mendapatkan bantuan.
f) Ingat anda tidak bersalah
Apa yang berlaku bukan kesalahan anda. Walaupun berasa malu atau takut, tanggungjawab bagi perbuatan tersebut tetap pada pelaku. Anda berhak berasa selamat dan dihormati. Jangan pendam seorang diri kerana takut dengan pandangan orang lain.
Pengalaman ini mungkin sukar untuk dilalui, tetapi anda tidak perlu menghadapinya seorang diri. Berikan diri ruang untuk pulih dan dapatkan sokongan apabila diperlukan.










