Soalan:
Saya ibu anak lima. Saya sangat susah hati dengan anak kedua, seorang lelaki berusia 12 tahun. Anak mencuri duit kami sekeluarga. Mula-mula duit saya RM350, kemudian duit tabung kakaknya. Bila suami tahu, anak teruk dipukul suami. Akhir ini, suami pula hilang duit dan kami syak anak mengambilnya.
-Ibu buntu
Jawapan:
Perbuatan mencuri sememangnya sikap yang tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila melibatkan harta ahli keluarga. Ibu bapa pasti berasa kecewa dan bimbang apabila anak melakukan perbuatan tersebut secara berulang-ulang.
Berikut beberapa tip untuk membantu ibu bapa bagi menangani situasi ini dengan tegas dan berkesan.
-Kawal emosi sebelum bertindak : Rasa marah dan kecewa dengan sikap buruk anak itu adalah normal, tetapi tindakan memukul atau menghukum secara berlebihan boleh menyebabkan anak lebih takut daripada memahami kesilapannya. Beri ruang untuk bertenang sebelum berbincang dengan anak.
-Fahami tingkah laku anak : Cuba kenal pasti mengapa anak mengambil wang tersebut. Adakah kerana ingin membeli sesuatu, terpengaruh dengan rakan, rasa tidak mendapat perhatian, kesukaran mengawal keinginan atau faktor lain? Memahami punca di peringkat awal dapat membantu ibu bapa mencari penyelesaian dengan lebih tepat.
-Bincang secara terbuka : Pilih masa yang sesuai untuk berbual dengan anak. Tanyakan apa yang berlaku dan dengar penjelasannya tanpa terus menghukum. Ini membantu anak belajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dan terbuka untuk berkongsi masalah.
-Ajar nilai tanggungjawab : Jelaskan kepada anak tentang tabiat mengambil wang tanpa izin adalah perbuatan yang salah kerana melibatkan kepercayaan keluarga. Bantu anak untuk memahami kesan tindakannya dan ajarkan cara membetulkan kesilapan.
-Elak label anak ‘pencuri’ : Tingkah laku yang salah tidak bermaksud anak itu seorang yang buruk. Elakkan memberi gelaran negatif kepada anak kerana ia boleh menjejaskan keyakinan diri dan menyebabkan anak menjadi semakin sukar untuk berubah.
-Dapatkan bantuan pakar : Sekiranya tingkah laku mencuri masih berulang walaupun sudah dibimbing, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan kaunselor. Sokongan profesional dapat membantu ibu bapa memahami tingkah laku sekali gus memberi sokongan tepat kepada anak.
Tingkah laku mencuri perlu ditangani dengan tegas dan bimbingan secara berterusan agar anak dapat belajar bertanggungjawab serta memperbaiki diri menjadi insan yang berakhlak mulia.








