Sentuhan warna kelabu menjadi pilihan Nik Nor Aziera Azmi, 29, dalam mencorakkan dekorasi kediamannya yang sederhana, sekali gus mewujudkan suasana ceria dan menenangkan.
Idea itu tercetus daripada minatnya melihat pelbagai inspirasi hiasan dalaman menerusi media sosial sebelum disesuaikan mengikut cita rasa dan keperluan kediaman.
Katanya, kelabu dipilih sebagai tema utama kerana menyukai suasana yang terhasil daripada warna tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, warna dan tekstur perlu dipadankan dengan teliti bagi menghasilkan suasana diingini.
Justeru, dia menyarankan pemilik rumah supaya menentukan konsep dan pilihan warna terlebih dahulu sebelum membeli perabot atau aksesori bagi mengelakkan hiasan yang dipilih tidak sepadan.
Perabot ikut luas ruang
Keluasan kediamannya yang sederhana membuatkan Nor Aziera perlu meneliti ukuran setiap perabot sebelum membuat keputusan untuk membeli.
Baginya, pemilihan perabot tidak boleh bergantung kepada rupa menarik semata-mata kerana saiz yang tidak sesuai boleh menjejaskan keselesaan dan penggunaan ruang.
“Saya akan mengkaji setiap sudut terlebih dahulu sebelum membeli perabot kerana rumah saya tidak besar.
“Ini penting bagi memastikan perabot dipilih tidak menyebabkan rumah nampak sempit, jadi ukurannya perlu bersesuaian dengan ruang,” katanya.
Langkah itu dalam masa sama membantunya membuat pilihan lebih tepat, sekali gus mengurangkan risiko tersalah perabot yang akhirnya tidak dapat digunakan seperti dirancang.
Selepas itu, perhatian diberikan pula kepada kedudukan setiap barangan supaya pergerakan di dalam rumah tidak terganggu.
Katanya, setiap susun atur mengambil kira fungsi sesuatu ruang, bukannya semata-mata dipenuhi dengan perabot atau hiasan.
Pendekatan itu membolehkan ruang digunakan secara lebih praktikal, selain memastikan kediaman kekal selesa untuk aktiviti harian.

Ruang tamu jadi tumpuan
Ruang tamu menjadi bahagian utama yang diberikan perhatian oleh Nor Aziera.
Baginya, ruang tersebut perlu sentiasa teratur dan selesa tanpa dipenuhi hiasan yang tidak diperlukan.
Selain susunan perabot, pencahayaan turut memainkan peranan dalam membentuk suasana ruang tamu.
Dia memilih pencahayaan cerah agar ruang berkenaan kelihatan lebih hidup dan memberikan suasana menyenangkan.
Elak pembaziran
Nor Aziera berkata, proses pemilihan perabot memerlukan penelitian kerana setiap pembelian perlu mengambil kira ukuran dan kesesuaian ruang.
Kesilapan memilih perabot boleh menyebabkan wang dibelanjakan untuk barangan yang tidak sesuai, sekali gus menambah kos sekiranya perlu diganti dengan pilihan lain.
Dia menasihatkan orang ramai yang mahu menghias kediaman supaya mengenal pasti ukuran dan keperluan setiap ruang sebelum mula membeli barangan dekorasi.
“Sebelum menghias rumah, kita perlu mengkaji setiap sudut ruang terlebih dahulu supaya hasilnya lebih baik.
“Kita juga dapat mengelakkan pembaziran dengan tidak membeli barang yang tidak sepatutnya,” katanya.
Baginya, kediaman yang selesa tidak bergantung pada jumlah perabot atau hiasan dimiliki, sebaliknya bermula dengan perancangan teliti dan pemilihan elemen yang sesuai dengan keperluan penghuni.











