“Merahnya, mak ngah!” Demikian antara dialog spontan tetamu apabila berkunjung ke kediaman jenis semi D yang terletak di Gong Badak, Terengganu ini.
Bukan hanya dinding, malah warna merah turut menghiasi perabot, peralatan dan barangan hiasan di segenap sudut.
Daripada ruang tamu hingga ke dapur, semuanya serba merah.
Kamrul Mat Ali, 48, berkata, rona itu dipilih kerana mampu menaikkan semangat dan menceriakan kediaman.
“Merah merupakan warna kegemaran saya sejak zaman remaja lagi.
“Sebelum ini, saya cuma gunakannya pada baju, kasut, kenderaan dan barangan peribadi lain.
“Bermula 2000, saya terpanggil untuk memberikan sentuhan merah pada rumah sedikit demi sedikit, daripada perabot hingga kelengkapan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Katanya, dekorasi kediaman banyak mengikut cita rasanya sendiri tanpa terlalu terikat dengan konsep atau trend tertentu.
Dia juga tidak cerewet tentang jenis, rekaan mahupun jenama perabot dan barangan yang digunakan.
“Asalkan ada rona merah, sudah cukup untuk menyerlahkan gaya yang saya mahukan,” katanya
Walaupun rumahnya diberi pelbagai gelaran termasuk ‘merahnya mak ngah’, ‘tokong’ dan ‘KFC’, tetapi dia tidak mengambil hati dengan kata-kata tersebut.
Katanya, di Malaysia, tidak ramai yang tampil dengan dekorasi itu, sekali gus menjadikan kediamannya unik dan mempunyai identiti tersendiri.

Banyak pilihan di pasaran
Kamrul berkata, pemilihan perabot dan barangan berwarna merah tidak sukar kerana banyak yang tersedia di pasaran.
Apatah lagi ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan Krismas yang sinonim dengan rona berkenaan.
Peluang itu dimanfaatkannya untuk membeli lebih banyak barangan bagi melengkapkan dekorasi kediaman.
“Menjelang kedua-dua perayaan itu, pelbagai produk baharu dan menarik dikeluarkan, harganya pun berpatutan
“Sampaikan orang pelik bila tengok saya memborong barangan berwarna merah, macam saya pula yang hendak beraya,” katanya tertawa.

Kontras hitam, klasik
Bagi memastikan suasana kediamannya tidak kelihatan garang atau panas, Kamrul turut menerapkan elemen hitam.
Rona itu membantu memberikan sedikit kontras pada perabot dan barangan hiasan.
“Saya selang-selikan warna merah dan hitam pada dinding, manakala langsir serta permaidani pula gabungan kedua-duanya,” kata anak jati Terengganu ini.
Sebagai kelainan, dia turut menyuntik elemen Melayu klasik menerusi dua tempayan lama yang dijadikan hiasan di ruang tamu.
Katanya, kedua-dua tempayan bertulisan Jawi itu diwarisi daripada arwah neneknya.







