Tayar terpakai jana pendapatan anak muda

Anak muda selamatkan 150,000 tayar terpakai

MUHAMMAD Akhmal Adib bersama rekaan yang telah siap untuk dihantar kepada pelanggannya di Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Lebih 150,000 tayar terpakai yang berpotensi menjadi pencemar alam sekitar berjaya ‘diselamatkan’ pemuda di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini dengan mengubahnya menjadi pelbagai produk kreatif sejak lima tahun lalu.

Pemilik Deko Tayar Melaka, Muhammad Akhmal Adib, 33, menghasilkan 32 bentuk unik daripada tayar terpakai untuk menghasilkan pasu bunga, kerusi, meja dan motosikal yang dijual pada harga antara RM20 hingga RM270 seunit.

“Idea bermula bila saya menghasilkan pasu bunga daripada tayar untuk kegunaan keluarga, namun tidak lama kemudian dapat perhatian masyarakat setempat termasuk sekolah dan agensi kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Muhammad Akhmal membeli tayar terpakai daripada pemborong di Sungai Udang pada harga antara RM3 hingga RM4 sebiji bergantung saiz.

Setiap bulan hampir 1,000 tayar digunakan untuk memenuhi tempahan pelanggan.

“Produk paling laris pasu bunga berharga RM21 seunit malah pernah untuk satu tempahan, melibatkan 1,200 tayar hingga memerlukan tujuh lori untuk menghantarnya,” katanya.

Usaha Muhammad Akhmal turut mendapat penghargaan daripada sebuah agensi kerajaan kerana sumbangannya mengurangkan pencemaran. Ini berikutan tayar terpakai yang dibuang lazimnya menjadi tempat pembiakan nyamuk, longgokan sampah dan ancaman alam sekitar.

“Orang anggap tayar sudah tidak berguna, tetapi dengan sedikit kreativiti ia boleh dijadikan produk bernilai. Apa yang saya lakukan bukan sekadar cari rezeki, tetapi juga untuk keles­tarian alam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×