Minat anak-anak melukis dan menconteng dinding memberi ilham buat pemilik inap desa ini untuk menampilkan dekorasi berkonsepkan komik dua dimensi (2D).
Nazariza Musa, 44, inap desa yang dinamakan The Comic Stay ini, mengangkat dunia 2D komik pada dinding, perabot dan pelbagai elemen dalam kediaman.
Pada awalnya dia hanya melihat aktiviti melukis dan menconteng yang dilakukan anak-anak sebagai sebahagian daripada kreativiti mereka ketika berada di rumah.
Namun, apabila anak-anak mula menulis nama hotel sendiri, idea untuk merealisasikan impian berkenaan dalam bentuk yang berbeza mula bermain di fikirannya.
“Saya mula terfikir bagaimana jika saya merealisasikan impian anak-anak dengan cara yang berbeza,” katanya baru-baru ini.
Nazariza mula membayangkan sebuah penginapan yang bukan hanya menyediakan tempat untuk bermalam, tetapi memberikan pengalaman seolah-olah tetamu berada dalam sebuah karya komik.
Katanya, kebanyakan lukisan di The Comic Stay mendapat inspirasi daripada objek dan suasana kehidupan seharian yang kemudiannya diberikan sentuhan 2D.
Perabot, rak buku, peralatan dan pelbagai elemen lain tidak dibiarkan sekadar menjadi kelengkapan rumah, sebaliknya digunakan sebagai sebahagian daripada komposisi visual yang membentuk dunia komik.
Pendekatan itu menjadikan ruang kediaman kelihatan berbeza apabila objek sebenar dan lukisan digabungkan dalam satu ruang.

Satu keluarga jadi pelukis
Menariknya, menurut Nozariza, keseluruhan lukisan yang menghiasi The Comic Stay dihasilkan sendiri oleh ahli keluarganya tanpa mengupah muralis profesional.
Nazariza berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka mendapatkan beberapa harga perkhidmatan daripada muralis yang mengenakan kadar sekitar RM15 hingga RM50 bagi setiap kaki persegi.
Berdasarkan keluasan dinding dan perabot yang ingin diberikan sentuhan komik, kos paling rendah dianggarkan mencecah RM50,000 dan ke atas.
Keadaan itu membuatkan mereka memilih untuk menghasilkan sendiri lukisan berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada suami, anak-anak dan abangnya untuk sama-sama terlibat dalam proses menghias kediaman.
Keseluruhan proses melukis mengambil masa kira-kira sebulan, dengan setiap ahli keluarga menyumbang masa, tenaga dan kreativiti bagi menyiapkan ruang berkenaan.

Jimat kos, kekal praktikal
Menurut Nazariza, pendekatan melukis sendiri bukan sahaja menjadikan The Comic Stay lebih bersifat peribadi, malah membantu mengurangkan kos perabot dan dekorasi.
Menurutnya, sebuah homestay lain miliknya yang berkonsepkan mewah i-City memerlukan kira-kira RM25,000 bagi perabot dan kelengkapan, manakala anggaran keseluruhan perabot, barangan dan dekorasi The Comic Stay tidak sampai RM10,000.
Antara idea yang digunakan ialah menggantikan sebahagian perabot sebenar dengan ilusi visual melalui gabungan lukisan dan objek tertentu.
Contohnya, meja solek yang mungkin berharga sekitar RM300 boleh digantikan dengan cermin dinding yang digabungkan bersama lukisan dengan kos kira-kira RM50.
Bagi Nazariza, penjimatan itu bukan bermakna mereka mengurangkan kualiti ruang, sebaliknya menggunakan kreativiti untuk menghasilkan kediaman yang mempunyai identiti tersendiri tanpa dipenuhi terlalu banyak perabot.

Nilai sentimental
Nazariza berkata, hampir setiap sudut kediaman itu boleh dijadikan lokasi bergambar, namun matlamatnya bukan untuk menjadikan The Comic Stay sekadar tempat menghasilkan kandungan media sosial.
Sebaliknya, dia mahu tetamu menikmati pengalaman yang lengkap dengan ruang yang selesa, praktikal dan pada masa sama memberikan peluang untuk mencipta cerita mereka sendiri.
“Bagi kami, tetamu yang datang bukan sekadar menyewa sebuah rumah untuk bermalam.
“Mereka berpeluang merasai sesuatu yang berbeza, mencipta kandungan media sosial, bergambar bersama keluarga dan membawa pulang kenangan tersendiri.
“Kami percaya setiap penginapan sepatutnya mempunyai cerita.
“Di The Comic Stay, kami berkongsi cerita keluarga kami melalui hasil kreativiti yang dihasilkan sendiri dan pada masa sama memberi peluang kepada tetamu untuk mencipta cerita mereka sendiri,” katanya.









