APABILA Generasi Z (Gen Z) melangkah ke bengkel Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mereka membawa bersama cara belajar serta corak pemikiran yang banyak dipengaruhi persekitaran digital.
Pakar sains saraf kognitif, Dr. Jared Cooney Horvath, dalam pembentangan bertajuk Plugged Out: Examining the Impact of Technology on America’s Youth di hadapan Jawatankuasa Perdagangan, Sains dan Pengangkutan Senat Amerika Syarikat (AS), membincangkan kesan teknologi terhadap perkembangan kognitif golongan muda.
Fenomena Reverse Flynn Effect merujuk kemerosotan skor kecerdasan yang diperhatikan dalam sesetengah populasi selepas tempoh peningkatan berdekad-dekad.
Namun, kesan teknologi terhadap keupayaan kognitif perlu dinilai berdasarkan bukti dan konteks, bukan dianggap berpunca daripada penggunaan skrin semata-mata.
Dalam latihan teknikal, kesukaran mengekalkan tumpuan boleh menjejaskan keupayaan membaca manual, memahami litar elektrik atau melakukan pemotongan logam dengan tepat.
Persekitaran media sosial yang menawarkan rangsangan dan ganjaran segera juga boleh mempengaruhi tabiat pengguna. Sebaliknya, bengkel dan premis industri menuntut ketekunan tanpa ganjaran serta-merta.
Apabila berdepan kegagalan atau teguran pengajar, sesetengah pelajar mungkin sukar mengawal emosi dan menganggap kritikan membina sebagai tekanan, bukannya peluang memperbaiki diri.
Kajian berkaitan TVET tempatan oleh pakar bidang tersebut, Prof. Dr. Mohamad Sattar Rasul dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), turut memberi perhatian kepada keperluan membangunkan kemahiran insaniah dan modal psikologi dalam kalangan graduan.
Selain penguasaan teknikal, ketahanan emosi, komunikasi bersemuka, kepimpinan serta kesediaan menerima maklum balas penting untuk memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan.
Kekurangan dalam aspek ini boleh menyebabkan kejutan budaya apabila graduan memasuki industri.
Tekanan masa, persekitaran kerja yang mencabar dan arahan penyelia memerlukan kematangan serta daya tahan. Ada yang memilih meninggalkan pekerjaan lalu beralih ke sektor ekonomi gig yang menawarkan aturan kerja lebih fleksibel.
Bagaimanapun, tidak adil untuk melabel Gen Z sebagai generasi lemah. Mereka mempunyai kelebihan dalam menyesuaikan diri dengan teknologi, mengendalikan sistem automasi dan memahami perkembangan digital. Cabaran sebenar ialah bagaimana potensi tersebut dapat digabungkan dengan kemahiran praktikal serta pembentukan sahsiah.
Ibu bapa memainkan peranan awal dengan membentuk disiplin kendiri, mengawal masa penggunaan skrin dan mendidik anak menghargai proses. TVET juga perlu dilihat sebagai laluan kerjaya yang bernilai, bukan pilihan kedua bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik.
Di institusi latihan, pengajar boleh mempelbagaikan kaedah penyampaian melalui modul ringkas, simulasi interaktif, realiti terimbuh dan teknologi kembar digital. Pendekatan ini dapat menarik perhatian pelajar tanpa mengabaikan standard kemahiran.
Ketegasan terhadap prosedur keselamatan perlu berjalan seiring dengan bimbingan berempati agar kesilapan menjadi ruang pembelajaran.
Kerajaan dan pemain industri turut perlu menyediakan laluan kerjaya yang jelas, persekitaran kerja selamat serta gaji yang setimpal dengan kemahiran dan tanggungjawab.
Pengiktirafan terhadap kepakaran teknikal dapat meningkatkan motivasi graduan untuk kekal dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perkhidmatan.
Masa depan TVET negara bergantung pada keupayaan membangunkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah berdisiplin, cekal dan cekap bekerja. –UTUSAN
MOHD. FOZI HAFIZ HASSAN dan MOHD. HAKIM MOHD. NASIR
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang











