KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Muhammad Haikal Nazri diberi peluang berganding semula bagi menilai keserasian mereka dalam cabaran kejohanan antarabangsa.
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi berkata, keputusan menyatukan semula pasangan itu dibuat selepas mengambil kira kualiti individu serta pengalaman mereka berbanding pemain lain yang turut menjalani rombakan gandingan.
Menurutnya, Arif sebelum ini sudah mencuba bergandingan dengan Kang Khai Xing dan Fazriq Razif, namun pihak kejurulatihan mahu melihat potensi dengan menggandingkannya bersama Haikal.
“Kedua-dua pemain ini merupakan antara pemain paling senior dalam kelompok yang sedang dipantau, selain memiliki kualiti individu yang baik untuk dinilai menerusi gandingan semula.
“Arif pernah cuba berpasangan dengan Khai Xing, kemudian dengan Fazriq. Kita kaji keseluruhan pemain dan yang paling senior adalah Arif dan Haikal.
“Dari sudut kualiti individu, mereka berdua memang baik. Jadi mengapa tidak kita cuba gandingkan semula dan lihat prestasinya,” katanya selepas sesi latihan pemain kebangsaan di sini, semalam.
Herry memberitahu, Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di India akan menjadi ujian pertama buat Arif-Haikal sebelum penilaian diteruskan pada Guwahati Masters serta satu lagi kejohanan yang dirancang dalam tempoh percubaan itu.
Jelasnya, pihak kejurulatihan tidak menetapkan sasaran khusus buat pasangan berkenaan pada peringkat awal kerana tumpuan utama adalah menilai corak permainan dan keserasian mereka dalam pertandingan sebenar.
Beliau menegaskan, prestasi pasangan baharu tidak boleh dinilai berdasarkan satu kejohanan sahaja, sebaliknya memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga lima kejohanan bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh.
Katanya, keserasian yang kelihatan ketika sesi latihan belum tentu dapat diterjemahkan di gelanggang pertandingan kerana setiap pemain mempunyai perwatakan serta corak permainan berbeza.
“Ini satu proses. Kita mesti perhatikan sama ada mereka serasi atau tidak. Mungkin ketika latihan nampak serasi tetapi ujian sebenar adalah dalam kejohanan.
“Kita perlu pantau ketika latihan dan menilai mereka dalam kejohanan sebelum membuat keputusan mengenai gandingan yang benar-benar sesuai,” ujarnya. – UTUSAN











