KYIV: Gencatan senjata diusahakan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump yang awalnya bertujuan membolehkan penghantaran makanan dan ubat-ubatan ke bandar Oleshky yang diduduki Russia di Ukraine kini diperluas ke seluruh wilayah selatan Kherson, menurut beberapa sumber.
Beberapa ribu penduduk masih terperangkap di bandar itu tanpa bekalan makanan, air dan elektrik. Sungai Dnipro terletak di satu sisi bandar, manakala tentera Russia berada di sisi lain, sementara semua jalan keluar terlalu berbahaya untuk dilalui.
Bagaimanapun, tiada pelanggaran gencatan senjata yang bermula awal Selasa dilaporkan.
Melania yang mengusahakan gencatan senjata itu bersama Pope Leo XIV berkata, kawasan terlibat diperluas bagi menyediakan laluan selamat kepada konvoi bantuan kemanusiaan.
“Penduduk yang ingin berpindah akan menerima bantuan penyelarasan dan pengangkutan ke destinasi pilihan mereka. Saya menjangkakan ada yang mahu ke Russia dan ada juga yang mahu ke Ukraine.
“Jelas sekali tanpa campur tangan saya, usaha membawa bantuan kemanusiaan ke bandar itu dan memindahkan warga emas adalah mustahil,” katanya, sambil menyifatkan keadaan di Oleshky kini amat kritikal.
Rumah Putih menyifatkan Melania sebagai ‘perantara eksklusif’.
Mengikut perjanjian berkenaan, gencatan senjata itu akan disusuli penghantaran bantuan kemanusiaan ke Oleshky sebelum operasi pemindahan penduduk yang mahu meninggalkan kawasan itu dilaksanakan pada Jumaat.
Dianggarkan antara 1,700 hingga 2,000 penduduk masih berada di Oleshky, manakala beberapa ribu lagi tinggal di kawasan sekitarnya.
Ramai penduduk terpaksa memasak rumpai yang tumbuh di kebun untuk meneruskan kehidupan. Penduduk memberitahu BBC mereka mengalami kebuluran dan mahu meninggalkan kawasan itu.
Kedua-dua pihak berkata, gencatan senjata itu sedang dipatuhi. Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata, segala-galanya berjalan mengikut perancangan, selain memuji usaha pengantaraan AS, khususnya wakil Melania.
Sementara itu, pegawai kanan dalam parti Presiden Volodymyr Zelensky di Parlimen, David Arakhamia, berkata, gencatan senjata itu akan berterusan sehingga 10.59 malam waktu Ukraine pada Ahad, 1 November.
Beliau menyifatkan gencatan senjata itu sebagai langkah meredakan ketegangan terbesar sejak 2022.
Presiden Finland, Alexander Stubb dan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Russia, Vladimir Putin mengenai usaha menamatkan perang di Ukraine, yang disifatkan mereka sebagai perbincangan terus terang dan mendalam. Bagaimanapun, Store berkata, perbezaan pendapat yang besar masih wujud.
Kedua-dua pemimpin negara Nordik itu berkata, perbualan berkenaan yang merupakan antara hubungan langsung yang jarang berlaku antara Putin dengan pemimpin Barat dibuat berikutan rundingan antara Russia, Ukraine dan AS yang dijangka berlangsung di Abu Dhabi bulan depan.-AGENSI











