Perkukuh undang-undang kawal judi

Perkukuh undang-undang kawal judi

UNDANG-UNDANG perjudian perlu diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat dan pembinaan negara berteraskan nilai agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEGAGALAN Kerajaan Negeri Kedah memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung pembaharuan lesen premis judi amat mendukacitakan.

Isu ini bukan sahaja melibatkan umat Islam yang jelas dilarang berjudi menurut al-Quran, malah turut membangkitkan kebimbangan terhadap kesan sosial dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Perjudian boleh membawa pelbagai kemudaratan, termasuk masalah kewangan, keretakan rumah tangga, pergaduhan dan keruntuhan hubungan sosial. Jika tidak ditangani dengan tegas, kegiatan ini berisiko menjadi barah yang merosakkan kesejahteraan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oleh itu, isu perjudian tidak wajar dipandang ringan atau sekadar dianggap sebagai urusan perniagaan.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menilai semula pendekatan perundangan berkaitan perjudian supaya kepentingan awam, nilai moral dan keharmonian masyarakat diberikan perhatian sewajarnya.

Sistem perundangan juga perlu mengambil kira nilai serta aspirasi rakyat, bukannya hanya bergantung pada kerangka yang diwarisi daripada zaman penjajahan.

Keputusan mahkamah berkaitan lesen premis judi di Kedah seharusnya mendorong kerajaan pusat meneliti ruang penambahbaikan undang-undang bagi mengawal kegiatan tersebut.

Usaha ini penting untuk mengelakkan kesan buruk perjudian terus menular tanpa kawalan yang berkesan.

Sehubungan itu, beberapa langkah perlu dipertimbangkan. Pertama, undang-undang berkaitan perjudian hendaklah diperkasakan bagi mengurangkan kegiatan tersebut serta melindungi masyarakat daripada kesan buruknya.

Kedua, penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berkesan demi menjamin keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan semua pihak tanpa mengira agama.

Ketiga, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan lebih proaktif kerana kesan negatif perjudian telah lama menjadi kebimbangan masyarakat.

Langkah pencegahan dan pendidikan awam juga perlu diperkukuh agar orang ramai memahami risiko yang boleh timbul daripada kegiatan berkenaan.

Akhirnya, hasrat membina Baldatun Toyyibatun wa Rabbul Ghafur, iaitu sebuah negara yang baik dan mendapat keampunan Allah, menuntut usaha berterusan untuk membendung kemudaratan serta memelihara kesejahteraan rakyat.

Pendekatan yang tegas, adil dan menyeluruh amat penting bagi memastikan kepentingan masyarakat sentiasa diutamakan. – UTUSAN

DR. ZUNAIDDIN IBRAHIM
Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini