35,516 barang kes judi, bitcoin dan kontraban dilupus

35,516 barang kes judi, bitcoin dan kontraban dilupus

MOHAMMAD Azlin (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan mesin bitcoin pada majlis pelupusan barang kes bitcoin, kontraban dan judi di IPD Manjung di Lumut hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sebanyak 35,516 barangan melibatkan peralatan perjudian, mesin perlombongan bitcoin dan pelbagai kes kontraban bernilai RM2.95 juta dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pelupusan itu membabitkan barang kes yang dirampas menerusi operasi penguatkuasaan bagi tempoh 2019 hingga 2026 melibatkan 173 kertas siasatan.

Katanya, daripada keseluruhan 173 kertas siasatan berkenaan, 125 adalah kes perjudian, 38 kes bitcoin manakala 10 lagi membabitkan kes rokok dan minuman keras.

“Barang kes yang dilupuskan membabitkan tiga kategori iaitu 490 unit barang kes perjudian bernilai RM99,538 dan 1,144 unit barang kes berkaitan bitcoin bernilai RM1.27 juta.

“Turut dilupuskan ialah 33,511 karton rokok, 323 botol dan 48 tin minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM1.57 juta,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Manjung, di sini hari ini.

Menurut beliau, pelupusan hanya dilaksanakan selepas semua kertas siasatan selesai di peringkat pendakwaan dan menerima arahan untuk pelupusan.

Katanya, bagi barang kes bitcoin, pelupusan dilakukan menerusi kaedah pengurusan buangan elektrik dan elektronik (e-waste), manakala barang kes lain dilupuskan menggunakan jentera pengorek (excavator) dan kaedah pembakaran mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pelaksanaan pelupusan itu bagi mengelakkan lambakan barang kes di stor IPD Manjung selain memastikan pengurusannya dilakukan secara sistematik, selamat dan mematuhi undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×