PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu dan tidak menambah bilangan kedai perjudian baharu.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an.
Sebagai langkah kawalan, Kementerian Kewangan juga sememangnya telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada pemegang lesen.
“Kerajaan Madani terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.
“Justeru, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu lesen judi di negeri itu jelas mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Madani tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri tersebut,” katanya hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi membangkitkan isu tanggungjawab untuk meluluskan atau tidak lesen perjudian di Kedah selepas ini terletak kepada Kementerian Kewangan (MOF) selepas pihaknya gagal menghalang pengeluaran lesen premis untuk perniagaan itu.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya bertanggungjawab mengeluarkan lesen premis selepas pengusaha mendapat kelulusan untuk beroperasi daripada kementerian berkenaan.
Dalam pada itu, MOF menjelaskan, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi parti Pas, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Katanya, berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan pada 2020 telah memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan sahaja setahun.
Kemudian, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada 2020 telah memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas 22 kali setahun.
“Selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah untuk membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023,” katanya. – UTUSAN










