HEBRON: Lebih 2,600 rakyat Palestin dipindahkan susulan operasi ketenteraan besar-besaran Israel di bandar Hebron, Tebing Barat, yang memasuki hari keempat berturut-turut kelmarin.
Menurut laporan agensi berita Anadolu, operasi itu turut menyaksikan serbuan, penutupan laluan dan serangan terhadap penduduk.
Tentera Israel menutup semua pintu masuk ke Hebron dan kampung-kampung sekitarnya sejak Jumaat susulan serangan tembakan yang mengorbankan dua anggota tenteranya.
Sumber tempatan memberitahu Anadolu, sekumpulan anggota tentera Israel bersama kenderaan tentera memasuki Hebron sekitar tengah malam menerusi pintu masuk Farsh al-Hawa, selain turut menyerbu bahagian selatan bandar itu berhampiran Jabal Karbaj.
Bantuan ketenteraan dan beberapa trak besar tiba di kawasan Al-Jilda awal Isnin, sebelum tentera Israel merampas beberapa kenderaan milik rakyat Palestin, menurut sumber berkenaan.
Rakaman Anadolu menunjukkan tentera Israel menahan dan memeriksa rakyat Palestin di pusat pemeriksaan berhampiran Bulatan Al-Jilda, selain mengasari seorang pemuda.
Saksi berkata, pasukan tambahan tentera Israel turut tiba di kawasan Deir Bahha dan merampas beberapa kenderaan milik rakyat Palestin.
Datuk Bandar Hebron, Youssef al-Jabari, pada Ahad berkata, tentera Israel memaksa kira-kira 2,200 rakyat Palestin meninggalkan kediaman mereka dan merobohkan lima bangunan komersial serta perindustrian selain sebuah bangunan kediaman tiga tingkat sejak operasi bermula.
Jawatankuasa bantuan tempatan pada Isnin mengemas kini jumlah rakyat Palestin yang dipindahkan dari kawasan itu kepada kira-kira 2,649 orang.











