ANKARA: Kumpulan Houthi yang berperang dengan kerajaan Yaman sejak 2015 sehingga menyebabkan campur tangan Arab Saudi dituntut supaya meletakkan senjata dan menyertai proses politik demi mencapai keamanan di rantau Semenanjung Arab.
Perang saudara di Yaman, yang menyaksikan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi menyokong kerajaan menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran, kembali tercetus pada Julai lalu, beberapa bulan selepas konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran mencetuskan krisis di Asia Barat.
Selepas gencatan senjata selama empat tahun yang rapuh, konflik di Yaman kembali memuncak sebelum semakin meruncing apabila Houthi merampas kawasan strategik di sepanjang pantai Laut Merah bulan lalu.
Menteri Luar Yaman, Afrah al-Zouba menggariskan lima syarat bagi mencapai keamanan di negara itu, termasuk menuntut kumpulan Houthi menyerahkan senjata dan menyertai proses politik.
Bercakap kepada Anadolu kelmarin sempena lawatan rasmi ke Turkiye, Afrah berkata, penyelesaian konflik turut memerlukan pembinaan semula institusi negara, memastikan kumpulan itu tidak lagi mampu melakukan tindakan yang disifatkannya sebagai keganasan di Yaman atau rantau berkenaan, selain melaksanakan rangka kerja keamanan.
Beliau berkata, rangka kerja itu merangkumi Resolusi 2216 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hasil Persidangan Dialog Kebangsaan Yaman dan inisiatif Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Resolusi 2216 menggesa Houthi berundur dari kawasan yang mereka rampas. Ia termasuk nerundur dari Sanaa, menyerahkan senjata yang dirampas daripada institusi tentera dan keselamatan dan memudahkan akses bantuan kemanusiaan.
Afrah menuduh Houthi mengambil kesempatan daripada siri rundingan damai untuk memperkukuhkan mereka.
“Kami telah melalui proses damai berkali-kali, berpindah daripada satu pusingan rundingan ke satu pusingan rundingan yang lain,” katanya.
Beliau berhujah bahawa kerajaan dan masyarakat antarabangsa sejak sekian lama memilih jalan rundingan kerana percaya penyelesaian secara aman boleh dicapai. Namun, Houthi menggunakan peluang itu untuk memperoleh senjata dan memperluaskan keupayaan ketenteraan mereka.
Sejak akhir-akhir ini, Houthi berulang kali menyerang Arab Saudi dengan menggunakan dron dan peluru berpandu dengan sasarannya ialah loji minyak Aramco, lapangan terbang dan infranstruktur elektrik tetapi tidak mendatangkan kerosakan besar. Bagaimanapun, ia menyebabkan kematian dalam jumlah yang sedikit.
Katanya, negara jiran dan rakan antarabangsa kini semakin menyedari kumpulan itu bukan rakan yang benar-benar ikhlas untuk keamanan.
Diplomat tertinggi itu berkata, Operasi Subuh Yaman dilancarkan Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden, Rashad al-Alimi pada 5 Oktober lalu. Ia bertujuan menamatkan penguasaan Houthi, memulihkan kuasa negara dan mengembalikan keputusan berdaulat Yaman kepada kerajaan.
Afrah turut menuduh Houthi cuba menjadikan Yemen sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan terhadap negara jiran, dengan merujuk kepada serangan mereka ke atas Arab Saudi dan ancaman terhadap kapal-kapal di Laut Merah termasuk Selat Bab al-Mandab.
Beliau menyifatkan kumpulan itu sebagai ancaman kepada keselamatan serantau dan antarabangsa, selain menuduh mereka bekerjasama dengan kumpulan bersenjata di Tanduk Afrika.
Pertempuran di Yaman semakin memuncak sejak Julai lalu dalam peningkatan paling ketara sejak ketenangan relatif yang dicapai menerusi gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada April 2022.
Menurutnya, kepakaran Iran membantu Houthi membangunkan senjata mereka sejak menawan Sanaa pada 2014, termasuk keupayaan menghasilkan beberapa komponen senjata dan memasang senjata di dalam Yemen.
Arfah juga berkata, Houthi dipercayai mula membangunkan keupayaan untuk melatih pihak lain, termasuk kumpulan Al Shabab di Somalia, menggunakan peralatan tertentu.
“Houthi menggunakan kuasa yang mereka peroleh melalui sumber Yaman terhadap rakyatnya, negara jiran dan dunia,” katanya.
Afrah berkata, bedilan berterusan Houthi serta kepungan separa di wilayah Taiz di barat daya Yaman terus menyekat akses kepada bekalan keperluan asas bagi kira-kira empat juta penduduk.
Katanya, Taiz berjaya menentang usaha Houthi untuk menguasai wilayah itu selama bertahun-tahun. Namun. penduduk masih berdepan kesukaran mendapatkan air, makanan, ubat-ubatan dan bahan api.











