Malaysia catat kes tertinggi sekatan FIFA di ASEAN

Malaysia catat kes tertinggi sekatan FIFA di ASEAN

- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan jumlah tertinggi kes sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam kalangan negara ASEAN apabila 11 kelab tempatan terpalit dengan keseluruhan 33 kes.

Semakan dalam laman rasmi FIFA menunjukkan Kelantan Red Warrior (KRW) FC merekodkan jumlah tertinggi dengan sembilan kes, diikuti Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mencatat enam kes dan Kelantan The Real Warriors (TRW) dengan empat kes.

Sekatan yang menghimpit KRW FC dilaporkan berkaitan tuntutan tunggakan gaji membabitkan Kelantan FC, yang didakwa mempunyai kaitan entiti dengan kelab berkenaan meskipun tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi itu memberi kesan kepada KRW FC yang membuat penampilan dalam Liga Super musim ini apabila sekatan berkenaan menghalang mereka daripada mendaftarkan pemain baharu untuk memperkukuh skuad.

Pasukan itu kini berada di tangga tercorot Liga Super tanpa sebarang mata selepas mengharungi enam perlawanan, sekali gus berdepan cabaran besar untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan liga.

Selain KRW FC, Kelantan FC dan PDRM FC masing-masing merekodkan tiga kes manakala Perlis FA dan Gombak FC mempunyai dua kes setiap satu.

Sementara Perak FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur (KL) City dan PT Athletic FC pula masing-masing mencatat satu kes, menjadikan keseluruhan 11 kelab Malaysia yang tersenarai dalam sekatan berkenaan.

KL City turut kembali berada dalam senarai itu selepas satu kes baharu diaktifkan pada 15 Oktober lalu berhubung tuntutan faedah oleh bekas pemain importnya, Patrick Reichelt.

Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar, sebelum ini dilaporkan berkata tuntutan faedah berkenaan berkaitan kelewatan pembayaran gaji pemain itu bagi tahun 2024.

Merujuk kes di peringkat ASEAN, Indonesia berada di kedudukan kedua dengan 21 kes, diikuti Thailand yang merekodkan sembilan kes, Filipina (enam), Vietnam (dua) dan Myanmar (satu).

Jumlah itu menunjukkan Malaysia mendahului negara serantau dari segi bilangan kes sekatan pendaftaran pemain FIFA berdasarkan semakan berkenaan, sekali gus menjadikan isu tersebut antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kelab tempatan.

Bagaimanapun, jumlah kes di Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara lain di peringkat global yang turut berdepan masalah sama.

Kelab dari Turkiye merekodkan jumlah tertinggi dengan 228 kes, diikuti Libya (143), Greece (58), China (47), Romania (45) dan Bolivia (39).

Beberapa negara yang mempunyai tradisi bola sepak kukuh turut tersenarai, termasuk Brazil dengan 21 kes, Argentina (17), Portugal (16), Belgium (sembilan), Itali (lapan), Sepanyol (lima) dan Perancis (empat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini