DAMSYIK: Jet pejuang Jordan melancarkan serangan terhadap lokasi yang disifatkan tentera sebagai tempat persembunyian ‘pengganas’ di selatan Syria lewat Isnin, sebagai tindak balas terhadap serangan maut ke atas upacara pengebumian di sebuah gereja di wilayah Karak, Jordan, tiga hari lalu.
Susulan serangan udara itu, Syria melaporkan lapan orang awam, termasuk wanita dan tiga kanak-kanak, terbunuh. Kerajaan Syria berkata, serangan berkenaan dilancarkan tanpa penyelarasan terlebih dahulu dengan Damsyik.
Pengarah Kesihatan Daraa, Khaled Al-Amyan memberitahu agensi berita rasmi Syria, SANA, bahawa orang awam itu terperangkap dalam serangan terhadap beberapa lokasi di kawasan luar bandar wilayah berkenaan.
Angkatan Tentera Jordan dalam satu kenyataan berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan pada Jumaat di Gereja Hamoud mempunyai kaitan dengan kumpulan di Syria yang menjadi sasaran serangan udara itu.
Tentera Jordan menyifatkan kumpulan berkenaan sebagai ‘organisasi pengganas’ tetapi tidak menamakan mereka.
Kerajaan Syria berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat keadaan kejadian, memantau situasi di lapangan dan berhubung dengan Jordan berhubung insiden itu.
Kerajaan Syria turut menggesa penyelarasan ketenteraan dan keselamatan bersama di kawasan sempadan bagi melindungi kedaulatan Syria dan keselamatan serta kestabilan kedua-dua negara.
Serangan itu memusnahkan beberapa bangunan dan kenderaan, selain membunuh atau mencederakan anggota kumpulan berkenaan, menurut tentera Jordan.
Bagaimanapun, pihaknya tidak memberikan angka korban atau lokasi tepat serangan.
Tidak lama sebelum kenyataan itu dikeluarkan, pengguna dan kumpulan media sosial Syria, termasuk halaman Facebook ‘Daraa 24’ melaporkan tiga serangan udara yang dipercayai dilakukan oleh pesawat perang Jordan di bahagian barat wilayah Daraa.
Laporan turut menyebut aktiviti pesawat perang yang berterusan dan sengit di ruang udara wilayah itu dan dua letupan terdahulu, termasuk satu yang dikaitkan dengan serangan udara berhampiran bandar Nasib di timur Daraa. – AGENSI











