PETALING JAYA: Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sedia membuka peluang kepada muka baharu untuk menyarung jersi kebangsaan menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman bulan depan.
Cheng Hoe yang juga Pengarah Teknikal Harimau Malaya berkata, pemantauan prestasi pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) dan di luar negara sedang giat dilakukan bagi memastikan barisan terbaik dapat dibentuk untuk menghadapi kedua-dua perlawanan itu.
Menurutnya, semua pemain berpeluang mendapat tempat dalam skuad kebangsaan sekiranya mampu mempamerkan prestasi meyakinkan, termasuk pemain yang beraksi dalam Piala ASEAN sebelum ini.
“Ketika ini saya dan barisan kejurulatihan terus memantau prestasi pemain-pemain di Liga Malaysia dan di luar negara untuk kita serap dalam skuad kebangsaan November ini.
“Semua pemain ada peluang untuk sarung jersi kebangsaan jika tunjuk prestasi terbaik, akan ada beberapa pemain baharu yang diberi peluang selain mereka yang bermain di Piala ASEAN,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, pihak kejurulatihan sudah mempunyai gambaran awal mengenai pemain yang bakal dipanggil, namun pemantauan akan diteruskan sehingga menjelang tarikh panggilan ke kem latihan pada 9 November ini bagi mengambil kira sebarang kemungkinan berlaku termasuk masalah kecederaan.
“Setakat sekarang sudah ada bayangan pemain tetapi kita akan terus pantau sehingga 9 November iaitu hari panggilan ke kem latihan bagi kalendar FIFA seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cheng Hoe enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi berhubung kedudukannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, sebaliknya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pasukan.
“Tentang kedudukan saya (ketua jurulatih Harimau Malaya) itu di luar bidang kuasa saya untuk tentukan. Setakat ini saya hanya fokus kepada tugas saya sepenuhnya untuk siapkan pasukan berdepan China dan Yaman,” katanya.
Harimau Malaya dijadual menentang China pada 14 November sebelum berdepan Yaman tiga hari kemudian dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Guangzhou, China.
Berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), China berada di tangga ke-96 dunia, diikuti Malaysia di kedudukan ke-133 dan Yaman di tangga ke-144.-UTUSAN











