Indonesia kurangkan eksport gas ke Singapura

Indonesia kurangkan eksport gas ke Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) mulai hari ini bagi mengutamakan keperluan tenaga domestik susulan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan tenaga.

Pengurangan itu melibatkan bekalan gas melalui saluran paip dari Natuna dan Sumatera, beberapa hari selepas Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, membangkitkan kemungkinan menghentikan eksport gas ke negara jiran.

Pengawal selia sektor huluan minyak dan gas Indonesia, SKK Migas, memaklumkan eksport dari Natuna dikurangkan sebanyak 15 BBTUD, manakala bekalan dari Sumatera dipotong sebanyak 16 BBTUD, menurut laporan media tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua SKK Migas, Djoko Siswanto, berkata langkah itu berkuat kuasa pada Sabtu, dengan pengurangan bekalan dari Sumatera melibatkan medan gas Jambi Merang.

“Mulai esok, kami akan mengurangkan eksport gas ke Singapura sebanyak 15 BBTUD dari Natuna dan 16 BBTUD dari Sumatera,” katanya semalam, di luar majlis anugerah industri tenaga di Jakarta.

Beliau berkata, pengurangan itu hanya melibatkan Singapura kerana saluran paip eksport berkenaan bersambung secara langsung ke negara kota itu.

Pengurangan itu bersamaan kira-kira lapan peratus daripada jumlah gas melalui saluran paip yang dieksport Indonesia ke Singapura pada 2024, berdasarkan data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA).

Agensi itu melaporkan Indonesia mengeksport kira-kira 4.11 bilion meter padu gas ke Singapura pada tahun berkenaan, namun kadar pengurangan terbaharu itu berbanding jumlah bekalan semasa masih belum dapat dipastikan.

Indonesia sejak beberapa tahun lalu merancang mengurangkan eksport gas ke Singapura bagi memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat.

Pada 2022, Jakarta bersetuju melanjutkan bekalan gas ke Singapura sehingga 2028, namun pada jumlah lebih rendah berbanding kontrak terdahulu.

April 2025, Djoko berkata Indonesia merancang mengurangkan eksport gas dari Sumatera ke Singapura, dengan menggunakan bekalan dari Natuna bagi menampung kekurangan itu, lapor Reuters.

Pada bulan berikutnya, syarikat tenaga Indonesia, MedcoEnergi, menandatangani perjanjian pertukaran gas dengan pembeli dari Singapura, termasuk Sembcorp Gas dan Gas Supply, bagi membolehkan lebih banyak bekalan gas dari Sumatera disalurkan untuk kegunaan domestik.

Bagaimanapun, pengumuman terbaharu itu melibatkan pengurangan bekalan dari kedua-dua Sumatera dan Natuna.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini