PADA 10 Oktober lalu, saya terlibat sebagai pemudah cara dalam Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Kali Ke-5 di ibu negara. Setiap topik pembentangan amat menarik, namun ada satu pandangan melekat terus dalam minda kerana sangat dekat pula dengan budaya, pemikiran dan tamadun India.
Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican selaku Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terlibat dalam forum bertajuk Peradaban Melayu Mewajah Dunia: Memperkasa Warisan, Membina Identiti Bangsa.
Beliau menekankan kepentingan aspek adab, budi, jiwa, rasa dan rupa dalam usaha memperkasa warisan serta membina identiti bangsa Melayu.
Apa yang terus menarik perhatian saya ialah hakikat selain konsep adab daripada bahasa Arab, konsep budi, jiwa, rasa dan rupa ialah istilah Sanskrit yang bertunjangkan peradaban dan tamadun India.
Tentulah penelitian etimologi atau asal usul perkataan perlu mengambil kira bentuk kata, makna, sejarah dan geografi peminjamannya. Hal ini dinyatakan Mohamad Nor Taufiq Nor Hashim dan Aniswal Abd. Ghani menerusi artikel Etimologi Kata Pinjaman Sanskrit Terpilih dalam Bahasa Melayu di Jurnal Pengajian Melayu (April 2022).
Sesungguhnya, perkataan tidak mengenal sempadan negara. Ia bergerak bersama manusia, pedagang, pengembara, penakluk, pendeta dan penyair. Setelah menyerap masuk ke dalam bahasa baharu, perkataan itu tidak semestinya terus membawa makna asal.
Masyarakat penerima mungkin memberikan pengalaman, pemikiran dan tafsiran sendiri.
Bahasa Sanskrit selaku bahasa klasik India yang mempunyai tradisi kesusasteraan dan falsafah yang panjang memang meninggalkan jejak dalam kosa kata Melayu.
Di sinilah konsep budi, jiwa, rasa dan rupa yang ditekankan oleh Ahmad Murad menarik perhatian saya sebagai pencinta bahasa.
Perkataan budi ada hubungan etimologi dengan perkataan Sanskrit buddhi yang berkaitan dengan kecerdasan, pemahaman dan keupayaan membuat pertimbangan.
Dalam tradisi falsafah Samkhya, buddhi merujuk prinsip intelektual yang membolehkan seseorang membuat penentuan dan pertimbangan.
Namun, dalam budaya Melayu, budi melangkaui kecerdasan akal. Kita boleh ambil konsep budi bahasa, budi pekerti, akal budi, mengenang budi dan hutang budi sebagai contoh. Ternyata perkataan asal buddhi yang berkaitan dengan keupayaan memahami dan menilai telah berkembang menjadi konsep budi merangkumi kebaikan, jasa dan tanggungjawab moral.
Perkataan jiwa pula mempunyai hubungan dengan jiva dalam Sanskrit dan berkaitan dengan kehidupan dan makhluk hidup. Dalam tradisi falsafah India, istilah jiva juga digunakan untuk membincangkan diri individu atau prinsip kehidupan dengan pengertian yang berbeza mengikut tradisi.
Dalam ajaran Jainisme, misalnya, jīva merujuk prinsip hidup yang dibezakan daripada benda bukan hidup. Dalam beberapa aliran ajaran Hindu, istilah itu digunakan dalam perbincangan tentang diri individu (atma) dan realiti tertinggi (Paramatma).
Dalam budaya Melayu, jiwa bukan sekadar perkara yang berkaitan dengan hidup atau mati. Apabila kita bercakap tentang jiwa seni, jiwa merdeka, jiwa bangsa dan jiwa yang terluka, maknanya sudah berkembang sehingga merangkumi emosi, semangat, kecenderungan dan identiti.
Apabila seseorang berkata jiwanya terluka, kita tidak membayangkan luka pada tubuh. Sebaliknya, apa yang dimaksudkan ialah penderitaan batin. Apabila menyebut jiwa merdeka, kita bukan sedang membincangkan makhluk hidup semata-mata, sebaliknya sikap manusia yang enggan tunduk kepada penindasan.
Perkataan rasa lebih menarik kerana bentuk dan maknanya hampir tidak berubah dalam beberapa penggunaan asas. Istilah Sanskrit rasa boleh merujuk kepada jus, cecair, sari atau rasa yang dialami melalui deria.
Dalam tradisi estetika India, khususnya perbincangan tentang drama, puisi dan seni persembahan dalam teks Natyasastra, rasa turut menjadi istilah penting bagi pengalaman estetik yang dibangkitkan melalui seni.
Dalam tradisi Melayu pula, rasa turut merangkumi pengalaman lidah, emosi dan tanggapan. Kita bukan sahaja mengenal rasa manis dan pahit, malah juga merasai kesedihan, mengesyaki sesuatu yang tidak kena dan menilai rasa bahasa dalam sesebuah karya.
Hal ini memperlihatkan bagaimana pengalaman deria menjadi bahasa untuk menerangkan pengalaman batin.
Rasa tidak lagi terbatas pada lidah. Kita boleh merasai kehilangan, merasakan perubahan suasana atau cuba memahami rasa orang yang sedang berduka.
Perkataan rupa mempunyai hubungan dengan istilah Sanskrit rupa yang merujuk kepada bentuk atau penampilan. Dalam tradisi falsafah India, termasuk Hinduisme dan Buddhisme, istilah ini turut mempunyai makna teknikal yang berkaitan dengan aspek material atau jasmani.
Dalam konteks budaya Melayu, rupa digunakan untuk menyebut rupa paras, rupa bentuk, rupa bumi dan persamaan antara dua perkara iaitu serupa.
Namun, ungkapan rupa-rupanya membawa pengertian yang berlainan iaitu sesuatu yang akhirnya diketahui atau disedari.
Malah, kita biasa dengan frasa indah khabar dari rupa. Di sinilah bahasa memperlihatkan hubungan antara makna dengan pengalaman sosial. Perkataan ‘rupa’ yang pada asalnya berkaitan dengan bentuk menjadi sebahagian daripada perbincangan tentang prasangka dan penilaian manusia.
Perbincangan ringkas tentang asal-usul perkataan budi, jiwa, rasa dan rupa memang menarik kerana dapat pula membuka minda kita untuk berfikir dari pelbagai sudut tentang persamaan dan perubahan makna yang berlaku apabila istilah Sanskrit masuk dan berpadu dengan bahasa kebangsaan kita sekarang.
Sesungguhnya, bahasa tidak statik, sebaliknya sentiasa mengalami perubahan dan penyesuaian.
Sejak kurun ketujuh, bahasa Melayu Kuno menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran Kerajaan Srivijaya serta kebudayaan Hindu-Budha di rantau ini.
Bahasa Melayu yang menggunakan aksara Pallava dan Kawi sebelum penggunaan Jawi dan Rumi sudah menerima pengaruh Sanskrit dan pelbagai bahasa lain. Malah, sehingga kini, proses peminjaman itu masih berlaku dan mungkin menjadi bahan kajian etimologi pada masa depan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











