PETALING JAYA: Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga dengan Turkmenistan bagi membuka peluang komersial baharu kepada syarikat tempatan, khususnya dalam perkhidmatan minyak dan gas bernilai tinggi, teknologi serta kejuruteraan khusus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerjasama itu membuka ruang kepada syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia untuk memperluas pasaran antarabangsa menerusi perkongsian strategik dengan pemain industri di Turkmenistan.
“Daripada jumlah itu, tujuh syarikat menyertai Pavilion Malaysia buat julung kalinya menerusi Program Akses Pasaran Antarabangsa di bawah Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030, yang diterajui Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi.
“Syarikat Malaysia bersedia bekerjasama dengan rakan kongsi di Turkmenistan bukan sekadar sebagai pembekal, tetapi juga rakan kerjasama jangka panjang yang komited untuk mewujudkan nilai tambah tempatan,” katanya dalam ucapan pada sesi pleno pembukaan Persidangan Minyak dan Gas Turkmenistan (OGT 2026).
Sesi Pleno OGT 2026 itu disertai oleh 20 syarikat Malaysia (19 OGSE dan Petronas).
Sebanyak tujuh syarikat menyertai Pavillion Malaysia sebagai pempamer, menerusi Program Akses Pasaran Antarabangsa di bawah Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030.
Menurut beliau, usaha memperkukuh hubungan industri itu turut bersandarkan kehadiran Petronas selama 30 tahun di Turkmenistan, selain Perjanjian Kerangka Kerja bagi Kerjasama Jangka Panjang untuk Pembangunan Sumber Hidrokarbon di Turkmenistan yang dimeterai ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Jun lalu.
Kerjasama dua hala itu dijangka diperkukuh lagi menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MPRC dengan syarikat milik kerajaan Turkmenistan, Turkmennebit, yang dijadual berlangsung hari ini bagi memudah cara kerjasama dalam sektor OGSE di negara berkenaan.
Majlis pemeteraian MoU itu dijadual disaksikan Akmal Nasrullah bersama wakil kerajaan Turkmenistan.
Dalam rangka lawatan itu, Akmal turut dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Pengerusi Jemaah Menteri Turkmenistan,Guvanch Agajanov; Menteri Negara Turkmenistan merangkap Pengerusi State Concern Turkmengas, Maksat Babayev serta Menteri Kewangan dan Ekonomi Turkmenistan, Mammetguly Astanagulov.
Pertemuan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan meneroka kerjasama strategik, khususnya dalam sektor tenaga serta minyak dan gas.
Beliau turut mengetuai pertemuan dengan kepimpinan Dragon Oil dan Eni Turkmenistan Limited, dua pemain utama antarabangsa yang mempunyai pelaburan jangka panjang dalam sektor minyak dan gas luar pesisir Turkmenistan.
“Pertemuan itu mencerminkan kesediaan Malaysia untuk memudah cara hubungan perniagaan antara syarikat OGSE tempatan dengan kedua-dua syarikat berkenaan bagi membina kerjasama serantau yang mampan dan saling menguntungkan.
“Inisiatif itu akan menjadi pemangkin kepada Meja Bulat Kerjasama Tenaga Malaysia-Turkmenistan yang menghimpunkan syarikat OGSE Malaysia serta pihak berkepentingan utama Turkmenistan, termasuk Turkmengas dan Turkmennebit,” katanya.
Meja bulat itu dijangka menterjemahkan kepentingan bersama kepada kerjasama konkrit yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan bernilai tinggi, pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030. – UTUSAN









