BATU KAWAN: Turkmenistan bersetuju menyerahkan dua blok gas utama termasuk antara medan simpanan gas terbesar di dunia untuk dibangunkan dan diselenggarakan secara kerjasama melibatkan Malaysia menerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Turkmenistan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menunjukkan keyakinan tinggi yang diberikan Turkmenistan kepada Malaysia untuk terlibat dalam pembangunan antara medan gas terbesar di dunia di negara tersebut membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap kestabilan, kepakaran dan keupayaan negara dalam sektor tenaga.
“Presiden Turkmenistan (Serdar Berdimuhamedow) dan saya bersetuju menjadikan Turkmenistan sebagai suatu medan perkembangan industri minyak dan gas yang besar.
“Semalam juga beliau bersetuju untuk menyerahkan telaga simpanan gas yang paling besar di dunia untuk diselenggarakan oleh Malaysia dan Turkmenistan. Ini melambangkan keyakinan negara luar kepada kita,” katanya ketika berucap ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang MKS Instruments Malaysia di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, Malaysia dan Turkmenistan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga di samping memperluaskan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, pengangkutan, pendidikan dan teknologi susulan lawatan rasmi Anwar ke negara itu.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas lawatan tersebut, kedua-dua negara menegaskan semula komitmen untuk mengukuhkan hubungan serta meneroka bidang kerjasama baharu demi pertumbuhan ekonomi bersama.
Sektor minyak dan gas sebelum ini menjadi antara fokus utama perbincangan, dengan kedua-dua pemimpin mengiktiraf operasi Petronas selama tiga dekad di Turkmenistan serta sumbangannya kepada industri tenaga negara berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kejayaan itu dicapai hasil kestabilan negara, perpaduan rakyat serta komitmen golongan profesional dalam membangunkan negara.
Katanya, perkembangan tersebut juga membuktikan pendekatan Malaysia yang mengutamakan hubungan baik dengan semua negara serta kerjasama strategik mampu memberikan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat.
“Saya berada di Turkmenistan atas jemputan Presiden dan berita baiknya ialah tahap keyakinan mereka terhadap Malaysia amat tinggi.
“Dengan kerja keras, komitmen dan kesungguhan kita untuk berkawan dengan semua negara, kita dapat melihat kesan serta hasilnya dengan segera. Sudah tentu saya amat gembira dengan pencapaian ini kerana ia memberi manfaat besar kepada Malaysia,” katanya. – UTUSAN










