PETALING JAYA: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan melangkaui sektor minyak serta gas menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pembangunan modal insan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara berasaskan kepercayaan dan persahabatan yang dibina sejak sekian lama, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih menyeluruh demi manfaat bersama.
“Hubungan Malaysia dan Turkmenistan hari ini tidak lagi terhad kepada sektor tenaga semata-mata, sebaliknya telah berkembang ke bidang-bidang strategik yang mampu memperkukuh pembangunan ekonomi dan modal insan kedua-dua negara.
“Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara, sekaligus menjadi contoh bagaimana Negara-Negara Selatan (Global South) dapat membina kerjasama yang saling menguntungkan demi kemajuan dan kemakmuran rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh karya pujangga agung Turkmenistan, Magtymguly Pyragy yang menekankan kepentingan kesatuan hati, fikiran dan jiwa dalam menghadapi cabaran.
Menurut beliau, semangat tersebut menjadi asas kukuh kepada hubungan yang terus berkembang antara Malaysia dan Turkmenistan.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting yang dijangka memperkukuh lagi kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Antaranya perjanjian rangka kerja antara Kerajaan Turkmenistan dan kerajaan Malaysia mengenai bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan.
“Selain itu, turut ditandatangani Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (Production Sharing Agreement, PSA) bagi Blok 19 dan Blok 20 antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan State Concern Turkmennebit serta State Enterprise Hazarnebit,” jelasnya.
Antara berkata, perjanjian kerjasama bagi Pelaksanaan Kajian Seismik 2D untuk blok-blok luar Pesisir Utara antara Petronas dan State Concern Turkmennebit. – UTUSAN










