Tempoh sijil kematian mangsa bencana Nepal dipendekkan kepada 45 hari

Tempoh sijil kematian mangsa bencana Nepal dipendekkan kepada 45 hari

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Nepal bersetuju memendekkan tempoh pengeluaran sijil kehilangan atau kematian mangsa bencana yang belum ditemukan daripada 12 tahun kepada 45 hari menerusi perintah eksekutif atau ordinan khas.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persetujuan itu dicapai susulan permohonan kerajaan Malaysia kepada Perdana Menteri Nepal bagi mempercepatkan urusan dokumentasi membabitkan mangsa yang masih hilang dalam tragedi di daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia kini memantau kandungan perintah eksekutif berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat membantu keluarga mangsa yang memerlukan dokumen rasmi untuk menguruskan pelbagai urusan, termasuk tuntutan insurans dan perbankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Nepal, bagi orang yang dikategorikan hilang dalam sesuatu bencana, tempoh untuk mengeluarkan sijil kehilangan atau sijil kematian mengambil masa sehingga 12 tahun.

“Kita meminta supaya dibuat satu perintah eksekutif atau ordinan oleh Perdana Menteri Nepal dan perkara itu telah dipersetujui.

“Kita sedang memantau kandungan perintah eksekutif itu yang membolehkan tempoh pengeluaran sijil kehilangan atau kematian dipendekkan daripada 12 tahun kepada 45 hari.

“Jadi ini sedang kita ikuti dan sedang kita pantau agar kita dapat membantu kerana keluarga-keluarga yang terdekat yang berada di tanah air ini memerlukan dokumen tersebut kerana keluarga di sini macam-macam yang perlu dilakukan, insuransnya, bankingnya, apa macam-macam.

“Kita perlu beri bantuan dan semalam Perdana Menteri telah pun bertemu dengan apa dipanggil sebagai adalah satu jawatankuasa khas next of kin ataupun keluarga terdekat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi susulan bencana di daerah Rasuwa, Nepal.

Mohamad berkata, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa khas keluarga terdekat mangsa bagi membincangkan perkembangan dan keperluan mereka.

Menurutnya, Kementerian Luar juga telah mengadakan dua pertemuan secara bersemuka dengan agensi kerajaan berkaitan dan keluarga mangsa di Wisma Putra bagi menyelaras bantuan serta mendapatkan maklum balas berhubung perkara yang diperlukan.

Katanya, keluarga mangsa secara umumnya berpuas hati dengan usaha kerajaan, namun berharap usaha mengesan ahli keluarga mereka diteruskan walaupun operasi mencari dan menyelamat di Nepal telah ditamatkan.

“Rata-rata mereka berpuas hati dan mereka juga meminta supaya kita tidak berputus asa walaupun di Nepal, usaha mencari dan menyelamat telah ditamatkan.

“Sekarang ini mereka sudah memasuki fasa pemulihan, tetapi kedutaan kita masih berhubung dengan pos-pos pendakian sekiranya terdapat sebarang kemungkinan atau perkembangan baharu,” katanya.

Beliau berkata, Kedutaan Malaysia turut berhubung dengan pihak berkuasa perbandaran di Nepal bagi mendapatkan maklumat yang berpotensi membantu mengesan mangsa.

Mohamad berkata, kerajaan akan meneruskan usaha berkenaan selagi masih terdapat ruang dan kemungkinan untuk mendapatkan maklumat baharu mengenai rakyat Malaysia yang belum ditemukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini