KHARTOUM: Tentera Sudan dituduh melancarkan beberapa serangan dron terbesar yang dilaporkan mengorbankan lebih 300 orang, termasuk puluhan individu yang menghadiri acara pengebumian.
Menurut Kumpulan Pemerhati Perang Sudan, seramai 150 orang terbunuh dalam serangan di dua kawasan di negeri Kordofan Barat pada petang Ahad yang berkemungkinan dilancarkan dari bandar Kadugli di negeri Kordofan Selatan yang dikuasai tentera.
Serangan itu membedil sebuah trak yang membawa kira-kira 200 orang untuk menghadiri pengebumian dan khemah tempat para hadirin berkumpul. Seramai 150 orang lagi cedera dalam serangan berkenaan.
Di Abyei, kawasan sempadan yang dipertikaikan antara Sudan dan Sudan Selatan, seramai 153 orang terbunuh apabila dron menyerang sebuah pasar pada Isnin, menurut menteri penerangan wilayah berkenaan.
Seorang sumber tentera memberitahu BBC, tentera Sudan melancarkan serangan di Abyei dengan mendakwa pasar itu merupakan lokasi bekalan bahan api kepada Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Serangan itu meningkatkan ketegangan antara Sudan Selatan dengan Sudan yang mentadbir Abyei secara bersama, memandangkan kedua-dua negara menuntut hak pemilikan terhadap wilayah kaya minyak itu.
Pertikaian berkenaan masih belum diselesaikan sejak Sudan Selatan berpisah daripada Sudan pada 2011.
Sudan Selatan memanggil duta Sudan bagi menyampaikan bantahan rasmi. Konflik itu turut menimbulkan kebimbangan akan merebak merentasi sempadan kedua-dua negara.
Walaupun Sudan dikenakan sekatan senjata separa, beberapa negara asing terus membekalkan dron kepada tentera Sudan dan RSF, sekali gus menjadikan senjata itu semakin kerap digunakan dalam konflik berkenaan.
Perang itu mencetuskan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia, mengorbankan ratusan ribu nyawa, memaksa lebih 14 juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, selain meningkatkan risiko kebuluran di beberapa kawasan di Darfur Barat dan wilayah Kordofan Raya.











