500,000 orang awam berdepan bahaya besar di Sudan - Utusan Malaysia

500,000 orang awam berdepan bahaya besar di Sudan

SEORANG wanita Sudan duduk bersama anaknya di kem Al-Rahmaniyah untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal berhampiran bandar El-Obeid, Kordofan Selatan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran kira-kira 500,000 orang awam berdepan bahaya besar di bandar El-Obeid di ibu negeri Kordofan Utara, Sudan, ketika pertempuran sengit yang berterusan memaksa keluarga dan kanak-kanak melarikan diri.

Agensi itu berkata, orang awam terutamanya kanak-kanak berisiko terbunuh, cedera, kehilangan tempat tinggal atau menjadi mangsa pelanggaran hak asasi yang serius.

“Pertempuran yang semakin sengit di El-Obeid, Sudan, memaksa kanak-kanak dan keluarga meninggalkan kediaman serta mencari perlindungan. Sebarang peningkatan konflik perlu dicegah demi keselamatan kanak-kanak,” menurut UNICEF menerusi hantaran di Facebook.

Penduduk El-Obeid sebelum ini dianggarkan sekitar 500,000 orang. Namun, anggaran tidak rasmi menunjukkan jumlah itu meningkat kepada hampir tiga juta selepas bandar berkenaan menjadi hab utama bagi penduduk yang dipindahkan akibat konflik.

Pada Isnin, Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengarahkan siasatan segera terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi dan penyalahgunaan di El-Obeid selain memberi amaran mengenai risiko kekejaman besar-besaran yang boleh berlaku dalam masa terdekat.

Sejak sebulan lalu, bandar itu berdepan serangan dron oleh kumpulan separa tentera Kumpulan Sokongan Pantas (RSF), yang menyasarkan stesen janakuasa utama, kemudahan bahan api dan beberapa lokasi awam lain sehingga mengorbankan serta mencederakan puluhan orang.

Pada 12 Mei, PBB turut memberi amaran mengenai peningkatan serangan dron di seluruh wilayah Kordofan, dengan menyatakan sekurang-kurangnya 880 orang awam terbunuh dalam serangan antara Januari hingga April.

Tiga negeri di wilayah Kordofan iaitu Kordofan Utara, Kordofan Barat dan Kordofan Selatan menyaksikan pertempuran sengit antara tentera Sudan serta RSF sejak Oktober tahun lalu.

Sudan terus dilanda konflik sejak 2023 apabila pertempuran tercetus antara tentera kerajaan dan RSF, mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa kira-kira 13 juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN