PETALING JAYA: Hasrat jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou untuk kembali merangkul kejuaraan di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal diuji apabila dia dijadual menentang pemain China, Li Mingpan pada aksi separuh akhir perseorangan lelaki SU5, hari ini.
Tiket ke kelompok empat terbaik berjaya diraih Liek Hou selepas dia mempamerkan aksi bertenaga ketika menyingkirkan seorang lagi wakil negara, Mohamad Faris Ahmad Azri dalam pertembungan suku akhir di Gimnasium Ichinomiya, semalam.
Pemain berpengalaman itu tidak berdepan banyak masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-10 dalam tempoh hanya 27 minit, namun cabaran berbeza menanti apabila Mingpan bakal menjadi penghalang dalam perebutan tempat ke final.
Terdahulu, pemain China itu melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi wakil India, Ruthick Ragupathi 21-19, 21-14 dalam aksi yang mengambil masa 37 minit.
Pertembungan itu dijangka berlangsung sengit memandangkan Mingpan pernah menewaskan Liek Hou pada Cabaran Antarabangsa Para Badminton China 2025.
Rekod tersebut pastinya menjadi perhatian Liek Hou dalam membuat persiapan bagi mengelakkan kekecewaan berulang.
Liek Hou memiliki sejarah cemerlang dalam temasya Para Asia apabila pernah emas acara perseorangan lelaki pada edisi Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.
Bagaimanapun, peluang untuk menambah koleksi emas pada edisi Hangzhou 2022 tidak kesampaian apabila dia tewas kepada pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi dalam pertarungan tiga set 21-18, 19-21, 17-21 pada perlawanan akhir.
Kini, Liek Hou perlu melepasi halangan Mingpan terlebih dahulu sekiranya mahu menghidupkan peluang untuk kembali ke pentas final dan memburu gelaran juara pada edisi kali ini. – UTUSAN











