PETALING JAYA: Kejayaan menghuni ranking keenam dunia menjadi suntikan buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Kejayaan melonjak sembilan anak tangga daripada kedudukan ke-15 itu hadir selepas Kejohanan Dunia di Shanghai, China, baru-baru ini, sekali gus membuktikan Azizulhasni masih mampu mencabar kelompok elit dunia.
Malah, perkembangan positif itu turut dirasai di peringkat negara apabila Malaysia memperbaiki kedudukan dua anak tangga kepada kesembilan dunia dalam ranking acara berkenaan yang dikemas kini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman menyifatkan peningkatan ranking itu sebagai permulaan kepada usahanya untuk kembali berada dalam kelompok terbaik dunia selepas kembali beraksi susulan persaraan sebelum ini.
“Selepas Kejohanan Dunia Shanghai baru-baru ini, ranking saya melonjak naik ke keenam terbaik dunia. Dan ini hanyalah permulaan. Insya-Allah,” katanya di media sosial, semalam.
Bagaimanapun, pelumba berusia 38 tahun itu mengingatkan laluan ke LA28 bukan sekadar bergantung kepada penyertaan dalam kejohanan, sebaliknya menuntut kelayakan berdasarkan merit menerusi ranking UCI.
“Untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik LA28, bukan sekadar isi nama dalam borang dan hantar kepada pihak penganjur. Atlet perlu layak secara merit melalui ranking UCI (Badan Basikal Dunia),” katanya.
Sebelum ini, Azizulhasni meletakkan sasaran untuk kembali sekurang-kurangnya dalam kelompok lapan pelumba terbaik dunia bagi meningkatkan peluang memburu slot ke temasya Olimpik 2028.
Lonjakan terbaharu itu menyaksikan beliau telah melepasi sasaran awal berkenaan, namun konsistensi prestasi dan usaha mengukuhkan kedudukan dalam ranking dunia kekal penting dalam perjalanan menuju LA28. – UTUSAN











