Jalan pintas Kea Farm boleh ancam alam sekitar

Jalan pintas di Kea Farm, Cameron Highlands boleh ancam alam sekitar

KEADAAN kesesakan trafik apabila pengunjung singgah di kawasan Agro Bazar di Kea Farm di Cameron Highlands.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pembinaan jalan pintasan baharu untuk mengatasi kesesakan trafik di Kea Farm berisiko mengancam alam sekitar dan keselamatan penduduk.

Presiden Persatuan Keseda­ran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, cadangan pembinaan jalan pintasan dari Royal Lily ke Villa Dahlia yang kini difahamkan masih dalam peringkat kajian berpotensi melibatkan cerun Gunung Jasar yang sensitif.

Menurutnya, cadangan itu menimbulkan persoalan kerana jajaran berkenaan terletak antara lapan hingga 10 kilometer (km) dari Kea Farm, lokasi utama ke­sesakan di tanah tinggi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika kesesakan berpunca di Kea Farm, selesaikan masalah di situ. Jangan buka kawasan baharu dengan memotong cerun sensitif Gunung Jasar sehingga berpotensi memindahkan risiko kepada penduduk di bawah­nya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kesesakan di Kea Farm antaranya berpunca daripada kenderaan memperlahankan pergerakan untuk memasuki Agro Bazar, pejalan kaki melintas jalan, laluan sempit serta kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

Dilip Martin berkata, kawasan Gunung Jasar mempunyai cerun dan ekosistem sensitif yang memerlukan penilaian teliti, khususnya dari segi kestabilan tanah, sistem saliran serta risiko geobencana sebelum sebarang pembangunan diputuskan.

Sekurang-kurangnya lima anak sungai di kawasan itu masih bersih berdasarkan pemerhatian Reach, selain kawasan berkenaan kaya dengan flora dan fauna serta berpotensi menjadi habitat dan laluan pergerakan hidupan liar dalam kompleks hutan Gunung Jasar-Gunung Brinchang.

“Kerja pemotongan cerun, pembukaan hutan dan perubahan aliran air boleh menjejaskan habitat hidupan liar, kualiti air, kestabilan tanah serta kawasan hiliran.

“Justeru risiko ini mesti dikaji secara saintifik dan menyeluruh, bukannya dipandang ringan demi mempercepatkan pembinaan jalan,” katanya.

Katanya perbincangan ma­syarakat dalam media sosial turut mempersoalkan mengapa penyelesaian kepada kesesakan di Kea Farm perlu melibatkan pembukaan jajaran baharu melalui kawasan Gunung Jasar dan persoalan itu wajar dijawab berdasarkan kajian trafik yang telus.

“Apakah bukti yang menunjukkan bahawa jalan pintas ini merupakan pilihan paling berkesan untuk mengurangkan kesesakan di Kea Farm,” kata­nya melontar persoalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini