SEREMBAN: Sebuah pusat peranginan terbiar di Broga, Mantin dijadikan markas sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai menyasarkan warga China sebelum kegiatan itu terbongkar dengan penahanan 40 individu pada Isnin lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sindiket itu menyewa sebuah blok bangunan di pusat peranginan berkenaan dengan kadar RM20,000 sebulan, meskipun premis di atas tanah persendirian itu tidak berpenghuni hampir empat tahun.
Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 63 tahun terdiri daripada pasangan warga tempatan, 34 warga China, seorang warga Taiwan dan tiga warga Myanmar.
“Lokasi pusat peranginan terbiar yang terpencil di kawasan luar bandar dipercayai dipilih bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Daripada empat blok bangunan di kawasan pusat peranginan itu, sindiket hanya menyewa satu blok untuk dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan kegiatan penipuan melalui aplikasi komunikasi dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sindiket berkenaan menyasarkan warga China yang menetap di dalam dan luar negara, termasuk Amerika Syarikat, dengan menyamar sebagai pendakwa raya dan anggota polis China.
“Mangsa diperdaya menerusi dakwaan kononnya mereka terbabit dalam kes jenayah sebelum ditawarkan bantuan bagi mengelakkan mereka daripada ditangkap.
“Mereka dipercayai menggunakan aplikasi komunikasi dalam talian untuk berhubung dengan mangsa,” katanya.
Alzafny berkata, warga China yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pentadbir dan pegawai khidmat pelanggan, manakala bekalan makanan dihantar oleh ejen ke premis berkenaan yang dilengkapi kemudahan elektrik dan air.
Dalam serbuan itu, polis merampas 82 telefon bimbit, tiga komputer riba, lima penghala rangkaian (router), 16 pasport China, empat tripod, wang tunai RM5,000 serta dokumen perjanjian sewaan atas nama seorang lelaki tempatan berbangsa Cina.
Pemeriksaan awal terhadap komputer riba dan telefon bimbit turut menemukan rakaman video suspek menyamar sebagai pihak berkuasa China serta beberapa skrip dalam bahasa Mandarin yang dipercayai digunakan bagi menjalankan penipuan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan. Kesemua 40 suspek direman selama empat hari bermula 13 hingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya. –UTUSAN











