SEREMBAN: Sindiket penipuan atas talian kini dikesan menyasarkan pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi sebagai ‘keldai akaun’ dengan bayaran upah dan trend tersebut dilihat semakin membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sindiket terbabit lazimnya menawarkan upah antara RM1,000 hingga RM2,000 kepada pemilik akaun sebagai balasan membenarkan akaun mereka digunakan.
Menurutnya, wang yang dimasukkan mangsa ke dalam akaun berkenaan akan segera dikeluarkan sindiket sebelum sebahagiannya diserahkan kepada pemilik akaun sebagai bayaran.
“Mereka biasanya pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan memegang beberapa kad ATM untuk mengeluarkan wang secara berterusan. Itu merupakan model operasi paling minimum bagi sindiket ini.
“Sebab itu tahun lalu kita telah meminda Kanun Keseksaan. Sebelum ini, seseorang yang membenarkan akaunnya digunakan untuk tujuan transaksi kewangan oleh pihak lain tidak melakukan kesalahan,” katanya pada sidang akhbar Program Citra Negara: Sekolah Selamat di Kolej Tingkatan Enam Tunku Muhriz di sini, hari ini.
Beliau berkata, kini perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan susulan pindaan yang dilaksanakan oleh kementeriannya pada tahun lalu.
Katanya, selain tindakan perundangan dan penguatkuasaan, kerajaan turut memperhebat kempen kesedaran memandangkan trend penipuan dalam talian yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) semakin membimbangkan.
Katanya, corak jenayah tersebut turut menunjukkan penglibatan akaun keldai dalam kalangan pelajar universiti, sekali gus memerlukan usaha pencegahan yang lebih agresif. – UTUSAN










