WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengeluarkan perintah kecemasan bagi menghentikan kerja penebangan pokok di sebuah padang golf di Washington.
Ia merupakan antara beberapa projek yang dirancang Presiden Donald Trump untuk mengubah wajah ibu negara itu, selepas ratusan pokok ditebang.
Hakim Ana Reyes meluluskan permohonan kumpulan pencinta alam sekitar yang bimbang selepas kira-kira 500 pokok didakwa ditebang di lokasi itu pada Sabtu, Ratusan pokok lagi kan ditebang menerusi pengumuman pihak berkuasa.
“Penebangan ratusan pokok di Padang Golf East Potomac merupakan sesuatu yang kekal,” katanya dalam keputusan ringkas. Hakim itu juga melarang sebarang kerja penebangan lanjut sehingga pagi Selasa atau sehingga mahkamah mengeluarkan perintah lain.
Beliau turut menjadualkan pendengaran kecemasan menerusi sidang video bagi mendengar hujah kedua-dua pihak, khususnya berhubung kegagalan kerajaan memberikan notis awal yang munasabah.
Kerajaan hanya memaklumkan kepada mahkamah dan pihak lawan mengenai rancangannya lewat Jumaat.
Trump, yang gemar bermain golf, mahu menaik taraf padang itu yang menurutnya berada dalam keadaan daif, sambil berhujah bahawa lokasi berkenaan berpotensi menjadi tuan rumah kejohanan utama pada masa depan.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, bekas pemaju hartanah itu melancarkan beberapa projek pembinaan dan pengubahsuaian bagi meninggalkan kesan peribadinya di Washington, dengan alasan mahu mengembalikan kegemilangan ibu negara yang didakwanya diabaikan oleh pentadbiran terdahulu.
Bagaimanapun, pembangkang Demokrat menuduh beliau membazirkan wang awam demi memenuhi keinginan peribadi untuk mendapatkan pengiktirafan, manakala banyak projek berkenaan berdepan cabaran undang-undang yang sengit.
Antara projek itu termasuk pembinaan dewan tari-menari besar di Rumah Putih sehingga memerlukan keseluruhan satu sayap kediaman presiden dirobohkan, selain kerja pengubahsuaian Pusat Kennedy, yang mahu dinamakan sempena dirinya.
Trump sendiri mengaku dorongan peribadi itu dalam satu temu bual yang diterbitkan pada awal September.
“Tiada siapa akan melakukannya selepas saya tiada. Apabila saya meninggalkan tempat ini, tiada siapa akan melakukannya,” katanya kepada majalah New York Magazine ketika ditanya sama ada beliau melancarkan semua projek itu demi kegemilangan dirinya sendiri. – AFP











