Belanjawan 2027 suntik sentimen positif Bursa Malaysia

Belanjawan 2027 suntik sentimen positif Bursa Malaysia

FBM KLCI dijangka bergerak dalam lingkungan 1,650 hingga 1,680 mata menjelang akhir tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2027 menyuntik sentimen positif ke dalam pasaran saham tempatan susulan komitmen kerajaan untuk meneruskan konsolidasi fiskal, di samping membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan operasi perniagaan.

Langkah kerajaan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 berbanding 3.6 peratus pada 2026 mencerminkan usaha mengekalkan disiplin kewangan negara, meskipun pelbagai bantuan dan insentif masih disediakan.

Pada masa sama, langkah pengurangan cukai, peningkatan pelepasan cukai serta bantuan tunai dan subsidi bersasar dilihat dapat menyokong perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun terdapat tanggapan Belanjawan 2027 turut dipengaruhi pertimbangan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), komitmen terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab masih dikekalkan.

“Keadaan itu berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi domestik, sekali gus memberikan sokongan kepada prestasi Bursa Malaysia.

“Antara sektor yang dijangka mendapat manfaat daripada langkah dalam belanjawan berkenaan ialah pembinaan, barangan pengguna, perbankan, tenaga, hartanah dan teknologi, bergantung pada pelaksanaan dasar serta kesannya terhadap pendapatan korporat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, prestasi pasaran saham turut dipengaruhi faktor luaran, termasuk ketidaktentuan geopolitik, pergerakan harga komoditi, hala tuju kadar faedah global dan aliran dana asing.

“Justeru, sejauh mana sentimen positif itu dapat diterjemahkan kepada kenaikan berterusan Bursa Malaysia bergantung pada keberkesanan pelaksanaan langkah belanjawan serta keupayaan syarikat meningkatkan keuntungan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” ujarnya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, FBM KLCI berada dalam julat 1,650 hingga 1,680 mata sekiranya tiada petunjuk ekonomi domestik yang lebih kukuh muncul dalam tempoh berbaki tahun ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku fenomena window dressing pada minggu terakhir Disember, yang boleh menyokong kenaikan indeks ke paras 1,680 mata atau lebih tinggi.

“Window dressing merujuk kepada tindakan pengurus dana mengubah suai pegangan portfolio menjelang akhir tempoh pelaporan, yang berpotensi mempengaruhi pergerakan saham tertentu.

“Pada masa sama, ketidaktentuan geopolitik turut dikenal pasti sebagai faktor yang boleh menjejaskan sentimen pasaran dan keputusan pelabur asing untuk meningkatkan pendedahan kepada aset berisiko,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan ketegangan di Asia Barat, termasuk serangan terhadap Arab Saudi yang dikaitkan dengan Yaman berpotensi meningkatkan kebimbangan pelabur dan mendorong mereka mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Mohd. Rizal berkata, Belanjawan 2027 yang merupakan antara belanjawan terbaik dalam tempoh lima tahun ini masih belum memberikan momentum ketara kepada Bursa Malaysia, dengan FBM KLCI dijangka bergerak dalam lingkungan 1,650 hingga 1,680 mata menjelang akhir tahun ini.

“Ketiadaan insentif cukai korporat yang lebih besar, khususnya kepada syarikat berskala besar, menjadi antara faktor yang mengehadkan kesan belanjawan itu terhadap sentimen pelabur dan prestasi pasaran saham tempatan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Apex Securities berkata, pengukuhan keluasan pasaran pada Jumaat menunjukkan minat belian semakin meluas melangkaui beberapa saham berwajaran tinggi indeks, sekali gus berpotensi menyokong kenaikan terpilih selanjutnya.

“FBM KLCI dijangka meneruskan pemulihan susulan peningkatan sentimen domestik selepas pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, kenaikan pasaran mungkin terhad berikutan tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing dan ketegangan geopolitik di Asia Barat, khususnya sekiranya keadaan itu mencetuskan kenaikan semula harga minyak mentah atau hasil bon global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini